PPPBD rai hari kemasyarakatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) hari ini, telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Kemasyarakatan Persatuan Pandu Puteri yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa, Berakas.

Majlis tersebut merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan dan tahun ini merupakan kali ke-12 diadakan dengan tujuan mendedahkan dan mendidik ahli-ahli tentang budaya berkhidmat untuk masyarakat, terutamanya kepada yang memerlukan bantuan, pada masa yang sama memupuk dan memantapkan sifat-sifat jati diri disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek dan aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh
persatuan.

Selain itu, majlis juga bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan ahli.

Bagi mengisi kegiatan bersempena sambutan berkenaan, PPPBD menyediakan beberapa program antaranya Program Sedekah Bubur Berakah yang juga diungkayahkan bersempena awal bulan Zulhijah.

Sebanyak 500 pek bubur nasi dan 500 pek bubur kacang akan dihantar dan disumbangkan ke tempat-tempat terpilih termasuk Kompleks Rumah Kebajikan Belimbing Subok dan masjid-masjid pilihan di Daerah Brunei dan Muara dan Tutong.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada tahun-tahun sudah, persatuan berkenaan telah menjalankan pelbagai projek amal bersama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan selain kegiatan kemasyarakatan yang menyumbang kepada komuniti seperti penyerahan sumbangan.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Hajah Viviyanti binti Haji Ali serta penolong-penolong ketua pesuruhjaya dan para jemputan khas.

Ahli-ahli PPPBD membungkus bubur nasi yang akan diagihkan kepada mereka yang terpilih.