PPPBD tingkatkan amalan di bulan Ramadan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Dengan hasrat untuk mendedahkan ahli-ahlinya kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat, Persatuan Pandu Puteri Brunei Darussalam (PPPBD) telah mengadakan Sedekah Bubur, Pengagihan Juadah Berbuka Puasa dan Sumbangan Baju Terpakai Projek Titian Kasih PPPBD yang diadakan di Ibu Pejabat PPPBD, Anggerek Desa, Berakas, hari ini.

Kegiatan itu merupakan salah satu kegiatan tahunan persatuan dalam bulan Ramadan dan ia merupakan sebahagian daripada rangkaian kegiatan keagamaan, amal dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh ahli-ahli PPPBD.

Kegiatan itu menyaksikan penyertaan daripada ahli-ahli PPPBD daripada semua peringkat di mana mereka dengan semangat bergotong-royong memasak dan membungkus kira-kira 300 kontena bubur kacang dan 250 kontena juadah berbuka puasa untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahli persatuan dan orang ramai khususnya golongan yang memerlukan.

Turut hadir dalam kegiatan berkenaan dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada ahli-ahli persatuan ialah Ketua Pesuruhjaya PPPBD, Hajah Siti Hafsah binti Haji Abdul Halim.

Sumbangan berkenaan diagih-agihkan kepada warga Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) Belimbing Subok dan orang awam melalui masjid-masjid serta stesen-stesen minyak terpilih dengan penyerahan sumbangan disampaikan oleh Jawatankuasa Ibu Pejabat PPPBD.

Pada masa yang sama, ahli-ahli persatuan juga menjalankan aktiviti amal mengumpul dan menyumbang baju terpakai yang masih elok kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Kegiatan berkenaan bermatlamat untuk berbahagi keberkatan bulan Ramadan Al-Mubarak dan untuk meringankan beban, berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan bersama warga masyarakat yang lain terutama golongan yang memerlukan.

Ia juga mendedahkan ahli-ahli kepada budaya berkhidmat untuk masyarakat dan memantapkan sifat-sifat jati diri, disiplin dan semangat kerja berpasukan melalui projek kegiatan amal dan kemasyarakatan yang dijalankan oleh persatuan serta mendidik ahli-ahli muda supaya sentiasa bersiap-sedia untuk berbakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara bersesuaian dengan cogan kata Pandu Puteri iaitu siap sedia serta meningkatkan kemahiran mereka.

Di samping itu, ia juga dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim dan meningkatkan perasaan muhibah dalam kalangan ahli-ahli persatuan.

Ahli PPPBD bergotong-royong memasak dan membungkus bubur kacang dan juadah berbuka puasa untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahli persatuan dan orang ramai khususnya golongan yang memerlukan.
Hajah Siti Hafsah (kiri) menyampaikan bubur kacang kepada ahli-ahli persatuan.