Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Persekutuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) telah mengadakan majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW hari ini yang berlangsung di Ibu Pejabat PPPMB, Beribi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Presiden PPPMB, Dr Haji Abdul Latif bin Haji Awang Chuchu. Dalam ucapan, beliau antara lain mengungkapkan terima kasih kepada ahli-ahli yang secara sukarela membantu dalam menjayakan majlis tersebut.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhamad Qayum bin Haji Zaini. Acara diteruskan dengan Selawat Tafrijiyah dan berakhir dengan bacaan Dikir Marhaban dipimpin oleh ahli-ahli wanita PPPMB, Hajah Asmah binti Haji Pulut.
Juga hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli dari Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB).
