Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Peak Performance Swim Club (PPSC) muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Renang Brunei bagi umur 7 hingga 9 tahun selepas mengumpul 15 emas, 10 perak dan 11 gangsa di Kolam Renang Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) baru-baru ini.
Pada kejohanan itu, perenang dari PPSC, Eva M’Cartney, 8 tahun, dan Kayleigh Ang, 9 tahun, berjaya memungut pingat emas dalam kategori perseorangan dan berpasukan. Manakala Danniel Chan, 8 tahun, pula menyumbang pingat emas dalam Kategori Gaya Bebas 25 meter, Kuak Lentang 25 meter dan Gaya Bebas Berganti-ganti 100 meter.
Sementara itu, menurut jurulatih veteran Pasukan PPSC, Victor Tan “Perenang muda pada kejohanan ini sememangnya sangat terlatih. Soal menang atau kalah merupakan perkara kedua dan saya sangat bangga dengan setiap pencapaian mereka dan yakin kejohanan ini akan memberi inspirasi kepada mereka untuk berusaha lebih keras dan melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.”
Acara anjuran Persatuan Renang Amatur Brunei (BASA) dan disokong oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu diadakan bertujuan bagi menguji kemahiran para peserta, di samping mencari perenang muda yang berpotensi untuk diketengahkan.
Kejohanan tahunan itu disertai sebanyak 166 perenang muda dari 12 kelab renang termasuk kelab dari Malaysia.
Selain PPSC, pertandingan itu turut disertai oleh pelbagai pasukan renang dari pelbagai kelab termasuk Kelab Renang Hammerhead, Kelab Renang Dolphin, Kelab Renang Jerudong, Life Skill Swim School, Skim Latihan Renang Tutong, Kolam Piranha KB, Panaga Stingrays, Kelab Renang PSI, Kelab Rekreasi Petroliam, Kelab Gymkhana Miri dan Sailfish Aquatic Athletics.
