PPTS anjur konsert bantu pemuzik lama

Persatuan Pemuzik Tempatan Selangor (PPTS) akan menganjurkan konsert 10 jam tanpa henti bagi mengutip dana membantu pemuzik kelab dan hotel yang bergiat aktif pada era 1970an hingga 1980an, pada 15 Mac depan.

Lebih 100 pemuzik era berkenaan termasuk 10 penggiat yang berhijrah ke luar negara dan bakal pulang ke Malaysia, dijangka beraksi pada konsert yang diadakan di Pusat Pameran Konvensyen Antarabangsa MINES di Seri Kembangan.

Dianggarkan 120 lagu akan dipersembahkan sepanjang konsert 10 jam itu bagi mengumpul dana sekurang-kurangnya RM500,000.

Presiden PPTS, Francis Danker berkata, konsert itu akan menjadi perjumpaan terbesar untuk kumpulan pemuzik yang pernah bersinar, lebih empat dekad lalu.

“Penganjuran konsert adalah sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020. Kita juga mahu mengutip dana bagi membantu pemuzik menikmati kehidupan selesa.

“Kami menyasarkan kutipan RM500,000 yang akan diagihkan kepada pemuzik memerlukan.

“Mereka sangat dedikasi suatu ketika dulu. Tetapi ada yang dihimpit kesusahan, diuji kesihatan dan hidup sebagai gelandangan,” katanya kepada media.

Francis berkata, lebih 5,000 peminat dijangka menghadiri konsert yang bermula jam 2 petang sehingga tengah malam. Premis itu diubah menjadi sebuah kelab besar dan sesuai untuk acara santai keluarga. – Agensi

Blues Gang antara band yang popular pada era 1980an, turut disenaraikan penganjur bakal beraksi pada konsert amal 10 jam anjuran PPTS, pada 15 Mac depan. – Agensi