PPV pandu lalu: Dulu sejam, kini 10 minit

IPOH, 10 JUN – Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Stadium Indera Mulia (SIM) bermula hari ini, membolehkan pemberian vaksin diselesaikan dalam tempoh 10 minit berbanding sejam sebelum ini, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, seramai 100 penerima vaksin dos kedua terawal menjadi kumpulan pertama mendapat perkhidmatan pandu-lalu pertama di Perak, dan jumlahnya dijangka bertambah setiap hari mengikut peningkatan kemahiran pasukan mengendalikan urusan berkenaan.

“Idea menyediakan perkhidmatan pandu-lalu tercetus, bagi meringankan cabaran warga emas yang perlu beratur dalam keadaan berkerusi roda, bertongkat dan memerlukan perhatian, di sepanjang proses penerimaan vaksin.

“Pertambahan kaunter pandu-lalu juga, dijangka akan dapat menambah bilangan penerima vaksin di PPV SIM, iaitu sehingga 2,500 orang sehari.

“Langkah ini juga diambil sebagai persediaan untuk menghadapi fasa akan datang (yang menawarkan vaksin kepada golongan di bawah 60 tahun), yang dijangkakan lebih ramai selepas ini,” katanya selepas merasmikan PPV pandu lalu itu, hari ini.

Sebelum ini antara lokasi PPV pandu lalu lain di seluruh negara adalah di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (Kelantan) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Cheras). – Bernama

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad (kiri) melihat proses suntikan vaksin COVID-19 secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, semalam. – Bernama