Oleh Sim Y. H.
Kurang bersenam ditambah lagi mengalami tekanan darah tinggi, penyakit jantung, diabetes, obesiti, kolesterol, gangguan tidur, memakan ubat-ubatan terlarang dan tabiat merokok antara penyebab anda mungkin akan menjadi mangsa strok!
Oleh itu, adalah penting bagi semua untuk mengenali tanda-tanda strok dengan pantas yang termasuk hilang keseimbangan tiba-tiba atau koordinasi badan, penglihatan berganda atau kurang penglihatan pada sebelah mata, rasa kebas pada sebelah muka yang menyebabkan senyuman tidak seimbang, lumpuh pada satu tangan dan seperti tidak dapat mengangkat kedua-dua tangan serta ucapan tidak jelas atau ucapan yang sukar untuk difahami.
Jika mengalami gejala-gejala tersebut, dapatkan rawatan dengan segera di jabatan kecemasan dengan menghubungi 991, walaupun tanda seolah-olah hilang, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Hari Strok Sedunia, baru-baru ini.
Strok punca kematian keempat tertinggi
Dalam perutusan itu, beliau mengongsikan yang Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali menghadapi masalah penyakit strok di mana ia merupakan punca kematian yang keempat tertinggi yang mana secara purata pesakit strok adalah dalam kalangan mereka yang berumur antara 55 dan 60 tahun.
Manakala itu, 17 peratus daripada penghidap strok adalah dalam kalangan mereka yang berumur masih muda iaitu di bawah umur 45 tahun.
Daripada semua pesakit strok, 20 hingga 25 peratus adalah jenis strok hemoragik iaitu disebabkan pendarahan aliran darah, manakala selebihnya jenis strok infark iaitu disebabkan oleh darah beku.



Kematian akibat strok juga menunjukkan peningkatan iaitu 162 kematian pada 2019 berbanding 103 kematian pada 2014 menurut Yang Berhormat Dato lagi.
Tambah beliau, sepertimana juga yang terjadi di seluruh dunia, strok adalah penyebab utama kekurangan upaya dalam kalangan penduduk di negara ini.
“Apa yang lebih membimbangkan, menurut kajian daripada Pertubuhan Strok Sedunia yang dibuat baru-baru ini, satu dalam empat orang akan mengalami strok dalam jangka hayat mereka.
“Perkara ini harus diberikan perhatian. Orang ramai harus memberikan komitmen yang tinggi dan meningkatkan kesedaran untuk membuat perubahan,” tekan Yang Berhormat Dato.
Tingkat aktiviti fizikal
Menurut Pertubuhan Strok Sedunia, kongsi beliau, dianggarkan 1 juta kes strok yang terjadi setiap tahun dikaitkan dengan kekurangan dalam membuat aktiviti fizikal.
Oleh yang demikian, Pertubuhan Strok Sedunia pada tahun ini menggesa orang ramai untuk ikut serta dalam #jointhemovement dalam melakukan dan meningkatkan aktiviti fizikal di kalangan masyarakat, dan dengan mendapatkan jumlah senaman mingguan yang disyorkan, ia dapat mengurangkan risiko seseorang mendapat strok.
Ini boleh dicapai dengan menerapkan aktiviti fizikal dalam rutin seharian seperti berjalan kaki, menaiki tangga, berkebun dan melakukan kerja-kerja rumah.
Di samping itu, dengan hanya melakukan senaman lima kali seminggu selama 30 minit (2½ jam seminggu) boleh mengurangkan risiko seseorang untuk mengalami strok sebanyak 25 peratus.
Menurutnya lagi, senaman berintensiti sederhana dan berat boleh dibahagikan mengikut kebolehan sendiri dan sekiranya sukar untuk bersenam selama 30 minit dalam satu sesi, disarankan untuk membahagikannya menjadi 10 minit atau lebih pada satu sesi.
Dari segi tindakan masyarakat pula, ujar beliau, satu Garis Pandu Aktiviti Fizikal bagi Negara Brunei Darussalam telah dibuat yang mana ia menekankan kepada pendekatan-pendekatan yang berasaskan penduduk (population-based approaches) dalam membantu meningkatkan tahap aktiviti fizikal di kalangan masyarakat.
#Don’tBeTheOne
Baru-baru ini, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) meraikan kempen untuk menandakan Hari Strok Sedunia yang disambut setiap 29 Oktober di mana ia disempurnakan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, yang juga merupakan pengerusi PJSC; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham, yang juga merupakan timbalan pengerusi PJSC serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Hari Strok Sedunia bagi 2019/2020 membawa tema #Don’tBeTheOne yang menumpukan kepada pengurangan risiko strok masa depan digital bukan lagi hanya realiti hari esok dan Negara Brunei Darussalam bersedia untuk meneroka perkembangan teknologi yang bergerak ke arah Revolusi Perindustrian ke-4 menerusi peningkatan tahap pendigitalan merentas sektor-sektor ekonomi negara.
Dalam berpandukan kepada semangat serta tema 2020, #jointhemovement dan #1in4, Brunei Neuroscience Stroke and Rehalibitation Centre (BNSRC), PJSC mengetengahkan sambutan menerusi Pameran #jointhemovement yang merangkumi rutin senaman oleh pesakit-pesakit strok, penjaga dan Jabatan Pemulihan BNSRC.
Semua usaha itu adalah untuk menggalakkan seluruh masyarakat untuk bertindak terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit serta melakukan aktiviti fizikal untuk mengurangkan risiko mendapat strok.