Thursday, December 1, 2022
23 C
Brunei

-

Praktik ilmu kehidupan berkeluarga

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Bengkel Kemahiran Keibubapaan Islam anjuran Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diadakan selama dua hari telah diakhiri dengan majlis penyampaian sijil di Dewan Tarbiah kolej berkenaan, hari ini.

Hadir menyampaikan sijil kepada para peserta bengkel tersebut ialah Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat.

Para peserta terdiri daripada 42 pegawai dan kakitangan dari KUPU SB, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan; Jabatan Pengajian Islam dan Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Jabatan Hal Ehwal Syariah; Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Pasukan Polis Diraja Brunei dan persendirian.

Pengerusi bengkel, Dr Haji Sham bin Haji Amin dalam ucapannya lain menyentuh mengenai antara objektif bengkel berkenaan iaitu untuk memberikan pendedahan dan kemahiran tarbiah kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak menurut Al-Quran dan sunnah sesuai dengan perkembangan dan peredaran zaman masa kini.

Selain itu, ianya juga untuk melahirkan ibu bapa yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran dalam mendidik anak-anak secara Islamik sama ada dari sudut teori, praktikal dan spiritual.

Dr Haji Adanan dan antara peserta yang hadir pada majlis berkenaan.
Dr Haji Adanan menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta lelaki pada majlis berkenaan.

Dr Haji Sham turut berharap agar para peserta dapat mempraktikkan dan mengamalkan segala ilmu yang diperolehi dalam kehidupan berkeluarga secara istiqamah dalam membentuk dan melestarikan kebahagiaan rumah tangga yang sakinah, mawaddah dan warahmah serta sentiasa peka akan kehidupan beragama dengan mengamalkan kepatuhan maqasid syariah dalam keluarga.

Sementara itu, Awang Abdul Najib Syazwan bin Shahrani dari Jabatan Hal Ehwal Masjid semasa menyampaikan ucapan bagi mewakili peserta lelaki, menyatakan bengkel itu membekalkan pelbagai input yang sangat berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan berumah tangga.

Modul-modul yang disampaikan turut membincangkan mengenai isu-isu semasa dalam kehidupan rumah tangga dan masyarakat secara amnya.

Khususnya pada zaman kini yang pesat maju dengan akses digital seiring dengan cabaran-cabarannya, bengkel tersebut sangat membantu membekalkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam mendidik keluarga.

Pegawai Ugama dari Jabatan Hal Ehwal Syariah, Dayang Normasuzanah binti Badaruddin, selaku wakil peserta wanita menjelaskan bengkel tersebut menyediakan pelbagai pengajaran termasuk kepentingan bagi para ibu bapa untuk sentiasa menitikberatkan ajaran agama Islam dan mempraktikkan amalan-amalan beragama dengan sepenuh penghayatan sebagai panduan cara hidup berkeluarga kerana dengan akidah, iman yang kukuh dan akhlak yang mulia, segala isu dan permasalahan boleh dihadapi dengan baik.

Selain itu, bengkel tersebut mengajarkan mengenai kepentingan peranan setiap ahli keluarga dalam membudayakan penjagaan kesihatan mental dan fizikal agar dapat menjamin kesejahteraan dan keharmonian berkeluarga.

Para peserta turut diterangkan mengenai kemahiran memahami pelbagai corak atau gaya asuhan ibu bapa terhadap anak serta impaknya yang positif terhadap pembentukan sahsiah anak-anak.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China lancar kapal angkasa Shenzhou-15

BEIJING, 30 NOV – China melancarkan kapal angkasa Shenzhou-15 semalam, yang membawa tiga angkasawan ke stesen angkasa lepasnya bagi melengkapkan penghantaran pertama kru China...
- Advertisment -