Praktik kemahiran diperolehi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Program Perkembangan Eksekutif (EDP) bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan siri ke-15 anjuran Kementerian Pertahanan diakhiri dengan majlis penutup program yang berlangsung di Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini, hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta program ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan, naib canselor UBD, rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), pemerintah-pemerintah angkatan tentera serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya mengingatkan bahawa pegawai-pegawai yang berkhidmat adalah diwajibkan menjalankan amanah atau tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Yang Berhormat Pehin juga menekankan kepentingan untuk memastikan dasar-dasar selari dengan agenda pembangunan negara sambil mengambil kira keadaan dan nilai-nilai persekitaran dasar masa kini.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bergambar ramai dengan para peserta Program Perkembangan Eksekutif (EDP) bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan siri ke-15. – Gambar oleh Kementerian Pertahanan

“Ini menjadikan penglibatan dan kolaborasi dengan beberapa pihak berkepentingan, dalam semangat muzakarah dan musyawarah, bahkan lebih penting dalam mencapai konsensus,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin juga menyeru semua peserta untuk mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dalam organisasi masing-masing dengan menyedari tentang tanggungjawab mereka sebagai pemimpin, menjadi inovatif dan bertekad untuk terus memperbaiki organisasi dan negara secara amnya.

Program tiga bulan yang bermula pada 26 Ogos dibentuk dan dilaksanakan dengan kerjasama Lee Kuan Yew School of Public Policy (LKYSPP), National University of Singapore yang disertai oleh seramai 30 orang peserta terdiri daripada 20 pegawai kanan ABDB, seorang pegawai bagi setiap kementerian dan agensi dari Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri, Biro Kawalan Narkotik, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Universiti Brunei Darussalam dan UNISSA.

Kenyataan menyatakan bahawa sebagai tambahan, Kementerian Pertahanan turut menjemput dan membiayai pegawai-pegawai kanan tentera luar negeri dari Malaysia, Kesultanan Oman, Filipina dan juga Singapura.

Program itu meliputi pelbagai kaedah analisis dasar termasuk analisis faedah kos, analisis pelbagai kriteria, beberapa kajian kes serta pendekatan utama dalam bidang pengurusan dan kepimpinan.

Ini bertujuan untuk melengkapkan para pegawai kanan dengan pengetahuan dan kemahiran agar menjadi lebih inovatif dalam menyokong proses penggubalan dasar serta menangani cabaran.

Selain pembelajaran dalam kelas, ia juga melibatkan ceramah khas dan juga lawatan ke agensi-agensi kerajaan tempatan untuk memperoleh pengetahuan dan pemahaman lebih mendalam mengenai proses perumusan strategi, pembentukan dasar dan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dengan penelitian khusus kepada kaedah pendekatan seluruh negara dan penyejajaran dengan matlamat-matlamat pembangunan negara menurut Wawasan Brunei 2035.

Kenyataan turut menyatakan bahawa pada 2019, para peserta EDP diberikan peluang untuk menghadiri lawatan kerja ke Negara Singapura selama empat hari di mana para peserta didedahkan dengan pendekatan-pendekatan dasar dan juga amalan pengurusan di beberapa buah agensi tempatan negara berkenaan.

Pada majlis itu, Pemangku Pengarah IPPSSHHB, Ampuan Yura Kasumawati binti DP Haji Mohd Adnan dan Associate Professor and Director, Institute of Water Policy dan bekas Vice-Dean of Research, LKYSPP, National University of Singapore, Profesor Eduardo Jr Araral, dalam ucapan masing-masing mengongsikan mengenai kerjasama erat dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kedua-duanya.