Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Praktik pengurusan hutan mampan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Perkembangan dalam industri hiliran perkayuan di negara ini dapat dilihat khususnya dalam pembuatan perabot, kraf tangan dan produk ukiran kayu yang lain melalui penglibatan belia-belia tempatan yang menceburi pembuatan produk perkayuan yang semakin bertambah.

    “Meskipun menunjukkan peningkatan, Jabatan Perhutanan juga memain-kan peranan penting untuk memastikan kedayatahanan industri perkayuan di negara ini dengan terus mempraktikkan amalan pengurusan hutan mampan seperti membuat pengawalan pengambilan hasil hutan.

    “Amalan itu termasuk mengikut garis panduan yang ditetapkan dan membuat penanaman semula atau rehabilitasi pokok hutan,” ujar Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap dan Pengarah Perhutanan, Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim semasa berucap ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Ekspo Produk Perkayuan Negara Brunei Darussalam dan Penyampaian Hadiah bagi Pertandingan Pembuatan Perabot Kayu sempena Hari Hutan Antarabangsa 2022 yang berlangsung di Onecity Shopping Mall hari ini.

    Majlis perasmian ekspo itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan tetamu khas yang lain.

    Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa berinteraksi dengan pelajar SM SMJA dan meninjau lebih dekat produk dipamerkan.
    Antara yang menyertai Ekspo Produk Perkayuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Onecity.

    Dayang Noralinda menyatakan tujuan ekspo itu diadakan adalah untuk memfokuskan salah satu kepentingan hutan sebagai sumber bekalan kayu bagi penghasilan produk perkayuan yang diperlukan.

    Ia juga adalah salah satu langkah pihak kerajaan melalui jabatan dalam mempromosikan produk perkayuan tempatan dan membantu syarikat dan pengusaha tempatan bagi memperkenalkan produk perkayuan buatan masing-masing untuk paparan dan jualan kepada orang ramai.

    Sehubungan dengan itu, jelasnya, Jabatan Perhutanan menyeru semua syarikat dan pengusaha produk perkayuan tempatan supaya menambahkan inisiatif strategi promosi bagi peningkatan pemasaran masing-masing.

    “Walaupun pandemik COVID telah merubah sedikit tatalaku pemasaran perniagaan yang memerlukan satu transformasi ke arah pendigitalan, penggunaan media sosial adalah trend pemasaran yang pada masa ini dianggap berjaya dan kaedah ini memberi kesan dalam pemasaran,” tekannya.

    Menurutnya lagi, Revolusi Perindustrian 4.0 ini, mesin canggih Computer Numerical Control (CNC) begitu menonjol dalam pembuatan komponen kayu dengan bentuk dan ukiran yang dimahukan secara efisien dengan bantuan program komputer.

    Pada majlis itu, Syarikat Kilang Papan Batang Mitus Sdn Bhd diumumkan sebagai pemenang tempat pertama bagi Kategori A manakala Home BN Pallet pula di tempat pertama bagi Kategori B.

    Pertandingan bagi kategori A menumpukan kepada set perabot bilik tidur yang dibukakan kepada syarikat perkilangan papan dan syarikat hiliran perkayuan yang berdaftar di Jabatan Perhutanan.

    Manakala bagi Kategori B yang menumpukan kepada pembuatan satu set almari laci dibukakan kepada pengusaha belia tempatan.

    Ekspo itu merupakan kali kedua dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan dan ia dibuka untuk kunjungan orang ramai sehingga 3 Julai ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...