Praktikkan amalan penjarakkan sosial

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai untuk terus mengamalkan penjarakkan sosial atau penjarakkan fizikal semasa berada di kedai-kedai, tamu dan bank, termasuk semasa menggunakan mesin ATM terutama pada hari penerimaan gaji esok dan hari-hari berikutnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, menekankan bahawa sesiapa yang merasa kurang sihat hendaklah mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang sesak dengan orang ramai, dan seboleh-bolehnya menggunakan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan seperti perbankan dalam talian.

“Dalam pada itu, pemilik gedung-gedung dan kedai-kedai adalah disarankan untuk mengawal kemasukan orang ramai dengan mengehadkan bilangan pelanggan dan membuat petanda-petanda jarak sekurang-kurangnya 1 meter di tempat-tempat tertentu seperti di kaunter pembayaran dan lain-lain,” jelasnya.

Selain itu, semua tempat juga digesa untuk terus melaksanakan pemeriksaan suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman di tempat-tempat masuk serta memastikan troli dan bakul-bakul pembelian adalah sentiasa dibersihkan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga menekankan kepada mereka yang telah diberi arahan pengasingan diri (self-isolation) untuk segera memaklumkan kepada ketua atau majikan di tempat mereka bekerja.

Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan penjarakkan sosial atau penjarakkan fizikal semasa berada di tempat-tempat awam. – Gambar oleh Muiz Matdani
Penjarakkan sosial di tempat-tempat awam seperti kedai-kedai adalah sangat penting dalam usaha untuk mengekang penularan COVID-19 daripada terus meningkat. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Sesiapa yang didapati tidak memaklumkan kepada ketua atau majikan berkenaan dan masih hadir bekerja semasa tempoh pengasingan diri, pihak Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang- undang menurut Akta Penyakit Berjangkit 204,” tegasnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.

Di kesempatan itu, Kementerian Kesihatan ingin menyeru kepada semua pengguna Talian Nasihat Kesihatan 148 untuk menggunakan perkhidmatan yang telah disediakan dengan berhemah.

Perkhidmatan Talian 148 disediakan untuk memberikan nasihat-nasihat kesihatan bagi mengurangkan kebimbangan orang ramai mengenai wabak COVID-19 yang sedang dihadapi.

“Namun terdapat sebilangan pemanggil yang menyalahgunakan perkhidmatan tersebut.

Panggilan gurauan (prank calls) hanya akan menghalang mereka yang benar-benar memerlukan nasihat kesihatan daripada mendapatkan bantuan,” tekannya.

“Oleh itu, gunakan perkhidmatan yang disediakan dengan bijak dan sebaik mungkin,” kata Yang Berhormat Dato.