Prayut cadang ASEAN, India promosi akses vaksin, ubat-ubatan menyeluruh

BANGKOK, 28 OKT – Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mencadangkan agar ASEAN dan India mempromosi akses vaksin dan ubat-ubatan COVID-19 yang menyeluruh, adil dan tepat pada masanya dalam persediaan strategi keluar daripada COVID-19.

Ketika berucap di Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-18 melalui persidangan video di sini hari ini, Prayuth menyambut baik pengumuman India untuk menyambung semula eksport vaksinnya kerana ASEAN juga bergantung kepada kapasiti India sebagai pengeluar ubat dan vaksin terkemuka dunia.

“Keputusan India adalah kunci utama dalam mengurus rantaian bekalan dan sistem logistik untuk pengagihan ubat-ubatan dan vaksin COVID-19 dengan berkesan. Ia juga akan membantu memastikan tidak ada pihak yang ketinggalan dalam proses itu.

“ASEAN dan India juga boleh bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam kita dalam jangka panjang,” katanya.

Sepanjang dua tahun lalu, Prayuth berkata ASEAN dan India telah melalui tempoh yang sukar untuk mengatasi impak besar krisis COVID-19.

Meskipun menghadapi pelbagai gelombang pandemik, beliau berkata kerjasama antara ASEAN dan India kekal kukuh kerana kedua-dua pihak terus saling membantu dalam menangani cabaran itu.

Pada waktu kritikal menuju era pasca COVID-19, ASEAN dan India perlu bekerjasama dengan “melihat di luar” situasi semasa dan membina semula masa depan yang berdaya tahan dan lestari untuk generasi akan datang, katanya.

Menurut Paruyuth, bagi meningkatkan kesalinghubungan untuk menyokong pemulihan ekonomi,  ASEAN dan India perlu meningkatkan pembangunan infrastruktur, kecemerlangan kawal selia dan ekonomi digital agar potensi perdagangan dan pelaburan dapat dikembangkan sepenuhnya. – Bernama