Prem teruja dapat kembali berlatih

KUALA LUMPUR, 5 JUN – Atlet karate negara S. Prem Kumar teruja dapat kembali menjalani latihan intensif di bawah program Road to Tokyo (RTT), bermula Isnin ini.

Beliau dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019, R. Sharmendran, adalah antara 14 atlet elit dan 26 atlet para yang akan melapor diri bagi mengikuti latihan berpusat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil yang dijalankan menerusi kebenaran khas kerajaan.

Kedua-dua atlet itu akan dikendalikan bekas jaguh negara S. Mahendran sepanjang latihan yang berkonsepkan kuarantin sehingga 30 Jun ini.

Kali terakhir anak muda berusia 26 tahun dari Segambut itu berlatih di MSN ialah pada Januari lepas sebelum bertolak ke Eropah sebagai persediaan kelayakan Olimpik, namun semua bentuk latihan dan pertandingan dipendekkan akibat penularan COVID-19.

“Selepas hampir tiga bulan berlatih sendiri di rumah (susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan) saya gembira dapat kembali berlatih di MSN,” katanya kepada Bernama.

Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu turut mengesahkan tiada rakan berlatih akan dibenarkan untuk sukan karate buat masa ini, namun beliau yakin rakan-rakannya yang lain akan kembali ke gelanggang apabila kerajaan melonggarkan sekatan.

Ditanya mengenai persediaan untuk tinggal dalam keadaan terasing dari dunia luar selama hampir sebulan, Prem Kumar berkata beliau sudah terbiasa dengan situasi itu ketika menjalani latihan dan menyertai pertandingan di luar negara kerana mereka jarang meninggalkan tempat menginap.

Namun katanya,  ‘terkurung’ di fasiliti latihan kali ini akan menjadi pengalaman baharu baginya.

Seramai 146 individu merangkumi atlet, jurulatih dan staf sokongan dijangka melaporkan diri di MSN pada Isnin depan dengan masing-masing perlu menjalani ujian swab bagi COVID-19 serta kuarantin kendiri di bilik asrama sehingga disahkan bebas daripada virus itu, selain perlu mengikuti prosedur operasi standard yang ketat sepanjang berada di kem tersebut.

Sembilan pemain badminton termasuk seorang atlet para serta empat pelayar akan menyambung semula latihan mereka, masing-masing di Akademi Badminton Malaysia dan Pusat latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi, pada Isnin.

Kem Bukit Jalil pada mulanya dija-dualkan pada Isnin lepas namun ditangguhkan bagi membolehkan  tempat tinggal atlet di Casa 1 dinyah kumah selepas digunakan sebagai antara pusat kuarantin COVID-19 oleh Majlis Keselamatan Negara. – Bernama