Premis makan beroperasi pada kapasiti biasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan melaksanakan pelan de-escalation fasa keempat bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan bermula 27 Julai, fasa keempat tamu mingguan kompleks pasarneka dan tamu-tamu, Daerah Tutong bermula 30 Julai dan fasa kedua bagi pawagam bermula 27 Julai, berpandukan kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

Di bawah pelaksanaan pelan de-escalation fasa keempat bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan, had pelanggan di premis-premis makanan iaitu restoran, kafe dan medan makan adalah dibenarkan untuk beroperasi pada kadar kapasiti seperti biasa iaitu 100 peratus.

“Walau bagaimanapun, penyediaan makanan secara bufet masih tidak dibenarkan. Garis panduan dan syarat-syarat lain bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan seperti yang dimaklumkan semasa sidang media pada 14 Mei 2020 adalah masih dikekalkan.”

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong, jelas Yang Berhormat Pehin, adalah dibenarkan untuk beroperasi pada kadar kapasiti penjaja seperti biasa bermula 30 Julai.

Beliau menambah bahawa garis panduan dan syarat-syarat lain bagi tamu-tamu mingguan seperti yang dimaklumkan semasa sidang media pada 1 Julai 2020 adalah masih dikekalkan.

Pengemaskinian syarat bagi pemilik atau pengusaha pawagam, hendaklah mengehadkan jumlah pengunjung yang dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa kepada 60 peratus daripada jumlah kapasiti biasa, memastikan penjarakan fizikal dan sosial sekurang-kurangnya dua tempat duduk.

“Walau bagaimanapun, pengunjung yang datang dalam kumpulan keluarga adalah dibenarkan duduk berdekatan,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Bagi pengunjung pawagam, beliau menerangkan hanya pengunjung yang berumur 12 tahun ke atas dibenarkan untuk memasuki pawagam dan perlu membuat tempahan tempat duduk terlebih dahulu, membeli tiket secara atas talian atau melalui telefon dan dibenarkan makan atau minum semasa menonton tayangan filem.

“Garis panduan penjarakan sosial dan syarat-syarat lain bagi pembukaan semula pawagam seperti yang dimaklumkan semasa sidang media pada 1 Julai 2020 adalah masih dikekalkan.”

Pelaksanaan pelan de-escalation itu, jelas Yang Berhormat Pehin, akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat berdasarkan pemantauan Kementerian Kesihatan akan situasi wabak COVID-19 di negara ini dan juga di peringkat serantau dan global.