Premis makanan perlu bekerjasama

Oleh Yusrin Junaidi

Langkah-langkah pengurangan kawalan COVID-19 atau Pelan De-Escalation di negara ini mula dilaksanakan pada 16 Mei lalu dengan semua premis makanan dibenarkan untuk menyajikan makanan secara dine-in kecuali bufet.

Premis makanan ini termasuk restoran, kedai makan, medan selera dan kafe bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan antaranya, jumlah pelanggan dihadkan 30 peratus daripada kapasiti biasa premis berkenaan, pemeriksaan suhu badan pemilik, pekerja dan pelanggan, mendapatkan kod khusus QR BruHealth untuk premis mereka dan mencetaknya di kawasan pintu masuk agar dapat diimbas oleh pelanggan sebelum masuk dan keluar.

Kementerian Kesihatan turut mewajibkan premis-premis ini menyediakan pensanitasi tangan, mematuhi garis panduan dalam pembersihan dan sanitasi premis serta digalakkan memakai penutup mulut dan hidung bagi para pekerjanya.

Kementerian Kesihatan turut mengingatkan bahawa mana-mana pengusaha premis makanan ini yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Sehubungan itu, penulis berkesempatan meninjau keadaan di premis-premis makanan, sama ada mereka mematuhi saranan Kementerian Kesihatan atau sebaliknya serta menemu bual orang awam melalui medium media sosial dan secara bersemuka.

Melalui tinjauan sendiri penulis di premis-premis makanan, mendapati ada sebahagian pekerja restoran yang tidak memakai penutup mulut dan hidung ketika melayan pelanggan, manakala ada juga yang sudah tidak lagi mengambil suhu badan orang ramai. Namun rata-rata premis ini menyediakan pensanitasi tangan dan sabun di sinki untuk kegunaan orang ramai dan mereka sendiri membersihkan tangan bagi menjaga kebersihan.

Pengendali makanan di gerai-gerai kelihatan memakai penutup mulut dan hidung di sebuah restoran di Langkawi, Malaysia. Pekerja restoran di Brunei bagaimanapun masih ada yang enggan mengaplikasikan penggunaan penutup mulut dan hidung berdasarkan tinjauan penulis di sini. – Bernama
Kod QR BruHealth untuk premis-premis di negara ini yang perlu diimbas dari telefon atau mencetaknya dan diimbas oleh premis-premis.
Kerap membasuh tangan atau menggunakan pensanitasi tangan (kanan) amat disarankan oleh Kementerian Kesihatan dan orang ramai bagi pekerja premis makanan di sini. – Gambar oleh Muiz Matdani
Penyusunan meja makan yang mengamalkan penjarakan fizikal kelihatan di salah sebuah kompleks membeli-belah di Pulau Pinang ketika Malaysia membenarkan restoran mengoperasi dine-in dengan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan. Di Brunei, penetapan sama dibuat ke atas restoran-restoran untuk penjarakan fizikal yang kebanyakannya telah dipatuhi. – Bernama

Sebahagian pelayan apabila ditanya kenapa mereka enggan memakai penutup mulut dan hidung, hanya tersenyum dan ada yang ketawa, menganggap perkara itu tidak serius.

Pada pendapat penulis, mungkin pemantauan rapi oleh penguat kuasa diperlukan ke atas sebahagian premis makanan ini dalam usaha memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan untuk pembukaan premis makanan bagi dine-in.

Manakala daripada pendapat orang ramai yang ditemu bual penulis, antaranya salah seorang pekerja di sebuah kedai bunga, Awang Muhammad Hafizuddin menasihatkan agar kakitangan premis makanan wajib memakai penutup mulut dan hidung terutamanya pada musim pandemik COVID-19 ini, bukan hanya sebagai langkah keselamatan bersama tetapi lebih kepada mematuhi segala arahan dan saranan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Menurutnya, beliau sendiri yang tidak bekerja dalam premis makanan pun menggunakan penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga kerana beliau juga berhadapan dengan orang ramai dan pelanggan berbagai-bagai peringkat umur, apatah lagi mereka yang terbabit dalam penyajian dan pengendalian makanan serta minuman.

Manakala tiga orang adik-beradik, Dayang Farah, Dayang Farhanah dan Dayang Fairus yang ditemui menjamu selera di salah sebuah restoran melahirkan keyakinan mereka terhadap keselamatan sesebuah restoran apabila semua pekerjanya memakai penutup mulut dan hidung. Premis makanan yang mempunyai pekerja sebegini tampak lebih kemas, memberi jaminan kepada orang awam dan menganggap mereka prihatin dengan isu penularan wabak COVID-19 yang membelenggu negara.

Warga emas, Haji Jemadi pula mengatakan pengguna penutup mulut dan hidung ini rata-ratanya adalah daripada kalangan pekerja belia dan tempatan namun beliau mendapati pekerja asing terutama yang berusia 40 ke atas masih enggan memakainya.

Menurutnya, apabila ditanyakan mengenainya, mereka menjawab tidak suka menggunakan, menyukarkan dan merimaskan mereka. Tidak kurang juga yang mengatakan ia tidak perlu digunakan.

Hajah Harlis, salah seorang yang ditemui penulis di salah sebuah restoran pula menyarankan agar pemilik dan pengusaha bekerjasama menyediakan penutup mulut dan hidung kepada pekerja mereka dan tidak membiarkan mereka membelinya sendiri dalam usaha memastikan mereka sentiasa ada bekalan.

Beliau turut menggesa majikan membekalkan dan mewajibkan pekerja mereka sentiasa membawa pensanitasi tangan mini dalam poket dan juga memakai sarung tangan ketika melakukan kerja-kerja di restoran, selain sentiasa memeriksa suhu badan mereka sendiri.

“Pemilik dan pengusaha premis makanan hendaklah menguatkuasakan dengan tegas syarat yang ditetapkan Kementerian Kesihatan memandangkan aduan-aduan mengenainya sudah pun berulang kali diutarakan pada sesi sidang media COVID-19, namun masih ada yang mengabaikan. Jangan nanti mereka sesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian sudah tidak berguna,” katanya mengakhiri temu bual bersama penulis.

Sehubungan itu, pemilik dan pengusaha premis makanan diingatkan untuk peka terhadap perkara yang ditekankan oleh kementerian, memastikan pekerjanya sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau pensanitasi tangan, memakai penutup mulut dan hidung, memeriksa kesihatan mereka dan pelanggan, mengamalkan penjarakan sosial dan memastikan keselesaan pelanggan yang memasuki premis mereka.