Premis perniagaan disaran hadkan jumlah pelanggan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Premis-premis perniagaan dan kedai runcit disarankan untuk mencontohi premis perniagaan yang mengambil langkah mengehadkan kemasukan pelanggan ke premis dan kedai mereka.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar membuat saranan itu semasa mengulas pandangan mengenai beberapa premis yang mengambil langkah berkenaan, pada sidang media harian yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan, mana-mana premis atau kedai runcit yang didapati penuh sesak dengan pelanggan akan dikenakan denda $5,000.

“Mana-mana premis perniagaan yang mengambil langkah dengan mengehadkan kemasukan pelanggan ke premis mereka adalah perlu dicontohi oleh premis dan kedai runcit yang lain untuk mengambil langkah seumpama ini,” tambah beliau.

Usaha yang dilakukan ini, jelas beliau lagi, adalah untuk mengawal penularan wabak berkenaan dan secara tidak langsung menjaga keselamatan premis dan kakitangan mereka.