Premis perniagaan kekal ditutup setiap Jumaat

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Sejak negara terkesan dengan wabak COVID-19 pada awal bulan Mac lalu, beberapa langkah pengawalan penularan wabak telah dilaksanakan dan ini juga tidak terkecuali penutupan bagi masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara buat sementara.

Melihat kepada usaha yang telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk mengawal penularan wabak dari terus berleluasa, rakyat dan penduduk di negara juga turut bersama-sama memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan yang di berikan oleh pihak kerajaan.

Meskipun para pengusaha di negara ini menghadapi penurunan jualan akibat krisis COVID-19, penutupan semua premis-premis perniagaan pada waktu sembahyang Fardu Jumaat masih lagi perlu dipatuhi oleh kesemua pemilik perniagaan di negara ini.

Seperti dalam petikan titah perutusan sempena Hari Raya Aidiladha 2012 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bertitah supaya hari Jumaat, di waktu atau jam yang bersesuaian, semua premis perniagaan perlu ditutup buat sementara waktu sehingga selesai menunaikan sembahyang Fardu Jumaat.

Baginda turut menegaskan penutupan ini, selain ia sendiri berunsur imej, ia juga akan mampu untuk mengubati penyakit kuai-libai setengah pemuda atau belia di pusat membeli-belah atau di kaki-kaki lima, sedang orang-orang Islam lain sudah pun berada di masjid atau bergerak ke masjid.

Peniaga-peniaga memberikan kerjasama dengan mematuhi peraturan bagi penutupan semua premis perniagaan pada waktu sembahyang Fardu Jumaat.

Langkah ini sangatlah wajar dan bahkan menepati tuntutan syarak untuk dilaksanakan dan agama juga menggesa supaya segera menyahut panggilan untuk menunaikan sembahyang fardu dan meninggalkan sementara urusan jual-beli sehinggalah selesai waktu sembahyang tersebut.

Sementara itu, pihak media sempat menemu bual dengan Haji Doming bin Haji Taha yang merupakan peniaga barang perkakasan rumah menjelaskan, walaupun banyak peniaga di negara ini berhadapan dengan krisis penurunan hasil jualan akibat dari wabak COVID-19 tapi mereka tetap menutup kedai seperti biasa pada setiap waktu sembahyang Fardu Jumaat walaupun seperti yang diketahui tidak ada sembahyang Jumaat di lakukan sejak tiga minggu lalu.

“Dengan tidak ada sembahyang Fardu Jumaat ini, ia bukannya alasan untuk peniaga di negara ini untuk membuka perniagaan mereka seperti biasa”, tambahnya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana di negara ini, masih ada pihak yang mahu memberikan kerjasama dalam membantu kerajaan mengawal penularan wabak ini.

Manakala Dayang Salamah binti Haji Saban, selaku pemilik restoran pula menjelaskan, meskipun hasil jualan terjejas akibat wabak COVID-19 ini, semua premis perniagaan di negara ini masih perlu mengikut arahan untuk menutup semua premis semasa
masuk waktu sembahyang Fardu Jumaat.

“Ini jelas, rakyat dan penduduk di negara ini termasuk premis perniagaan masih menghormati dan memberi kerjasama dalam usaha pihak berkenaan untuk mengawal penularan wabak ini”, jelasnya.