Premis perniagaan masih kurang sambutan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Meskipun banyak sektor ekonomi sudah beroperasi semula termasuk restoran, gim, kedai gunting dan banyak lagi, namun situasi di kebanyakan premis perniagaan dilihat masih kurang sambutan pada hari pertama pembukaan semula hari ini.

Begitu juga di restoran atau kedai makan yang mana hanya segelintir pelanggan memilih untuk dine-in berbanding mereka yang membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Keadaan itu diakui oleh segelintir pemilik restoran yang memaklumkan bahawa jumlah pelanggan dine-in masih berkurangan berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Bukan itu sahaja, pemilik restoran juga ingin memastikan keadaan selamat walaupun kerajaan sudah membenarkan pelanggan untuk dine-in di restoran mereka.

Rata-rata pemilik restoran yakin penduduk dan rakyat di negara ini sudah dapat mengadaptasi norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Jumlah pelanggan dine-in masih berkurangan berbanding sebelum pandemik COVID-19.

“Jika dahulu restoran-restoran terutama restoran makanan segera menjadi pilihan orang ramai, tapi sekarang ini keadaan sudah berbeza apabila sebilangan daripada mereka memilih untuk bawa balik makanan,” ujar pengurus Restoran Bee Wah, Dayang Nurzieyana Arifin semasa ditemu bual.

Menurut beliau, hari ini hanya dua meja sahaja yang boleh digunakan pelanggan untuk dine-in dan sebagai permulaan Fasa Peralihan ini, hanya 12 orang sahaja dibenarkan untuk dine-in dan setiap meja dibenarkan hanya dua orang tergantung saiz meja yang ada.

Sementara itu Ketua Pemasaran McDonald’s Brunei, Dayang Noor Hafilah binti Haji Mohd Salleh berkata, pihaknya memutuskan untuk terus menutup perkhidmatan dine-in buat sementara waktu bagi melihat dahulu keadaan jika betul-betul mengizinkan.

Katanya, McDonald’s amat menitikberatkan pematuhan SOP dengan hanya membenarkan individu lengkap vaksinasi masuk ke dalam premis bagi mengelak penularan wabak.

“Kami juga tidak sabar untuk memperkenalkan konsep baharu McDonald’s kepada pelanggan-pelanggan,” ujarnya, merujuk kepada reka bentuk baharu restoran yang direka oleh Lim Extreme 2.0 Design, sama seperti di Singapura dan Malaysia.

Manakala itu, pengurus restoran Soto Rindu juga mengumumkan bahawa mereka masih menutup perkhidmatan dine-in untuk orang ramai atas perkara-perkara tertentu.

Berdasarkan penelitian Media Permata, orang ramai masih membuat pembelian dalam talian meskipun sektor ekonomi sudah mula beroperasi secara fizikal.

Keadaan di pusat membeli-belah, premis perniagaan dan restoran masih tak ramai orang. Ini mungkin kerana orang ramai sudah selesa dengan budaya norma baharu iaitu membuat pembelian dalam talian dan keluar untuk membeli barang keperluan saja atau masih meragui tentang keselamatan ketika berada di restoran atau mana-mana tempat.