ALGIERS, 16 FEB – Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune berkata semalam kerajaan akan memperkenalkan faedah pengangguran belia ketika negara Afrika Utara itu bergelut dengan kadar pengangguran yang mencecah hampir 15 peratus.
Bayaran akan dibuat “untuk memelihara maruah belia,” kata Tebboune dalam temu bual yang disiarkan di televisyen Algeria.
Elaun berjumlah 13,000 dinar – bersamaan dengan hampir dua pertiga daripada gaji minimum 20,000 dinar – akan mula dikeluarkan pada Mac.
Ia akan diiringi oleh faedah kesihatan, sementara beberapa cukai ke atas produk pengguna juga akan dibatalkan, kata Tebboune.
Algeria, pengeksport gas terbesar Afrika dengan kira-kira 45 juta penduduk, memperoleh kira-kira 90 peratus daripada pendapatan negaranya dari hidrokarbon.
Tebboune berkata bayaran belia membentuk sebahagian daripada belanjawan negara 2022.
Pada November, penggubal undang-undang mengundi untuk membatalkan subsidi kerajaan ke atas makanan asas yang telah lama membantu mengekalkan keamanan sosial, namun ia telah membebani belanjawan negara ketika pendapatan minyak merosot. – AFP