Presiden AS batal rancangan sekat TikTok, WeChat

WASHINGTON, 10 JUN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden telah membatalkan arahan eksekutif daripada presiden sebelumnya, Donald Trump yang berhasrat melarang aplikasi mudah alih milik China, Tik Tok dan WeChat daripada pasaran AS atas kebimbangan keselamatan negara, satu langkah yang diterima Beijing dengan berhati-hati.

Satu kenyataan kelmarin mengatakan, berbanding melarang aplikasi popular itu, pentadbiran Biden akan melaksanakan ‘kerangka keputusan berdasarkan kriteria dan ketat, serta analisis bukti untuk menangani risiko’ daripada aplikasi internet yang dikendalikan entiti asing. Trump sebelum ini mendakwa aplikasi itu menimbulkan risiko keselamatan negara dan berusaha memaksa penjualan TikTok, yang dimiliki ByteDance yang berpangkalan di China dan kekal menjadi salah satu aplikasi media sosial paling popular di dunia.

WeChat, sebahagian daripada syarikat gergasi teknologi China, Tencent, merupakan ‘aplikasi super’ yang terkandung rangkaian sosial, mesej, e-dagang dan banyak lagi.

Biden mengeluarkan arahan eksekutif baharu itu yang menyatakan ‘kecemasan berterusan’ berkaitan ‘usaha berterusan musuh asing untuk mencuri atau memperoleh data warga AS’ dan menggesa semakan semula selama empat bulan. Usaha yang dilakukan pentadbiran Trump itu menyebabkan siri cabaran perundangan yang menangguhkan usaha untuk melarang atau memaksa penjualan aplikasi itu, yang meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dan Beijing.

Kedua-dua syarikat tidak menunjukkan respons semasa diminta untuk memberi komen.

Profesor undang-undang Universiti Texas, Bobby Chesney menggelar arahan Biden itu ‘jalan tengah yang baik’.

“Mereka menegaskan mengenai sifat ancaman dan kewajaran menggunakan sekatan untuk mengatasinya, serta membuka pintu untuk mengembalikan semula beberapa versi sekatan ini… namun kemungkinan dengan rekod yang jauh lebih kuat dan kukuh,” kata Chesney dalam Twitternya.

Jurucakap Kementerian Perdagangan China, Gao Feng hari ini menggelar keputusan Biden itu ‘satu langkah positif ke arah laluan yang betul’.

Gao berkata dia berharap Washington akan ‘menunjukkan layanan adil dan saksama ke atas syarikat-syarikat China dan mengelak untuk mempolitikkan isu perdagangan dan ekonomi.” – AFP

Gambar fail 3 Ogos 2020 menunjukkan logo TikTok dan berlatarbelakangkan bendera Amerika di Arlington, Virginia. – AFP