Presiden baharu Ukraine bubarkan parlimen

KIEV, 20 Mei – Volodymyr Zelensky, seorang pelakon komedi berusia 41 tahun yang mengangkat sumpah sebagai presiden Ukraine hari ini, mengumumkan pembubaran parlimen dalam ucapan beliau untuk membolehkan pilihan raya awal diadakan.

“Saya membubarkan konvokesyen kelapan Verkhovna Rada,” kata presiden yang baru dilantik itu ketika upacara di parlimen di Kiev.

Pilihan raya parlimen akan datang telah ditetapkan pada bulan Oktober.

Zelensky tidak memperoleh sokongan majoriti dalam parlimen sekarang dan telah berbalah dengan penggubal undang-undang yang dituduh oleh beliau sengaja menangguhkan pelantikannya dan menggelar mereka ‘penyangak menjengkelkan’.

Sebelum pelantikan beliau, Zelensky telah pun mengugut akan melancarkan proses kompleks pembubaran parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu demi menerima faedah daripada kepopularannya sekarang.

Penyokongnya berkata dalam satu kenyataan pada Jumaat bahawa negara memerlukan ‘satu parlimen yang berfungsi’. – AFP

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memegang Bulava, simbol kuasa Ukraine, ketika upacara pelantikan beliau di parlimen di Kiev kelmarin. – AFP