DHAKA, BANGLADESH, 6 OGOS – Presiden Bangladesh membubarkan parlimen hari ini, membuka jalan kepada pilihan raya baharu bagi menggantikan perdana menteri lama yang meletak jawatan dan melarikan diri dari negara itu selepas berminggu-minggu tunjuk perasaan menentang pemerintahannya yang membawa kepada rusuhan ganas.
Presiden Mohammed Shahabuddin turut mengarahkan ketua pembangkang, Khaleda Zia dibebaskan daripada tahanan rumah. Zia, pesaing lama Perdana Menteri Sheikh Hasina yang digulingkan, disabitkan dengan tuduhan rasuah oleh kerajaan Hasina pada 2018.
Jalan-jalan di Dhaka kelihatan lebih tenang hari ini, tanpa laporan mengenai keganasan baharu ketika penunjuk perasaan yang gembira menyerbu kediaman pemimpin yang digulingkan itu.
Ada yang berswafoto dengan askar-askar yang mengawal bangunan itu di mana sehari sebelumnya penunjuk perasaan yang marah telah merampas perabot, lukisan, pasu bunga dan ternakan ayam.
Ketika negara itu menunggu kerajaan baharu dibentuk, seorang pemimpin utama pelajar berkata penunjuk perasaan mahu pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengetuai kerajaan sementara.
Yunus, yang kini berada di Paris untuk Sukan Olimpik, menggelar peletakan jawatan Hasina sebagai ‘hari pembebasan kedua.’ Beliau tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen, tetapi ketua pelajar, Nahid Islam berkata Yunus telah bersetuju.
Presiden Bangladesh dan komander tertinggi tenteranya berkata lewat kelmarin bahawa kerajaan sementara akan dibentuk tidak lama lagi untuk mempengerusikan pilihan raya baharu.
Hasina melarikan diri ke India dengan helikopter pada kelmarin ketika penunjuk perasaan mengingkari arahan perintah berkurung tentera untuk berarak di ibu negara, dengan beribu-ribu penunjuk perasaan akhirnya menyerbu kediaman rasminya dan bangunan lain yang berkaitan dengan parti dan keluarganya.
Awal hari ini, ketua protes Sarjis Alam memberitahu pemberita bahawa mereka telah meminta presiden untuk membubarkan Parlimen pada pukul 3 petang, dan mengugut untuk memperbaharui demonstrasi jika tuntutan tidak dipenuhi kerana mereka berusaha untuk ‘memulihkan kerajaan.’
“Kami telah mencadangkan nama Muhammad Yunus dengan persetujuannya, sekarang jika ada orang lain yang datang daripada kalangan ahli Parlimen, kami tidak akan membenarkan perkara itu berlaku,” katanya. – AP