Presiden Belarus rombak jawatan pegawai tertinggi

KYIV, UKRAINE, 3 SEPT – Pemimpin autoritarian Belarus hari ini merombak jawatan pegawai tertingginya dalam percubaan untuk memperkukuhkan pemerintahannya di tengah bantahan berminggu lamanya menuntut peletakan jawatan beliau.

Presiden Alexander Lukashenko menaikkan pangkat Valery Vakulchik, yang mengetuai agensi keselamatan negara yang masih menggunakan nama era Soviet KGB, untuk menyandang jawatan setiausaha Majlis Keselamatan. Beliau mengganti Vakulchik dengan Ivan Tertel, yang sebelumnya berkhidmat sebagai ketua Jawatankuasa Kawalan Negara.

Pemerhati berkata pelantikan merupakan satu percubaan oleh Lukashenko untuk memperketatkan kawalan.

“Ia sebahagian daripada trend ke arah pengukuhan kawalan kerajaan,” kata Alexander Klaskousky, penganalisis politik bebas di Minsk. “Penindasan akan terus meningkat.”

Rombakan diadakan tatkala Lukashenko berdepan bantahan minggu keempat menentang pemilihannya untuk penggal keenam. Pembangkang berkata pilihan raya dimanipulasi.

Bekas pengarah ladang berusia 66 tahun itu, yang telah memerintah negara bekas Soviet secara kuku besi selama 26 tahun, telah mengetepikan pembantah sebagai boneka Barat dan menolak rundingan dengan mereka.

Lukashenko berusaha mendapatkan sokongan dari Rusia, yang mempunyai perjanjian kesatuan dengan Belarus. Presiden Rusia Vladimir Putin berkata pada minggu lalu beliau bersedia untuk menghantar polis ke Belarus atas permintaan Lukashenko jika tunjuk perasaan bertukar menjadi ganas.

Hari ini, Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin berkunjung ke ibu negara Belarus untuk membincang syarat-syarat untuk Belarus membiayai semula pinjaman Rusia. – AP

Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin (kiri) beramah mesra bersama Presiden Belarus Alexander Lukashenko semasa pertemuan mereka di Minsk, Belarus kelmarin. – AP