Presiden bola sepak haiti digantung

PORT-AU-PRINCE, 26 MEI – Persekutuan Bola sepak Antarabangsa (FIFA) menggantung Presiden Bolasepak Haiti selama 90 hari, sementara menunggu siasatan ke atasnya berhubung tuduhan melakukan serangan seksual ke atas pemain remaja perempuan di pusat latihan kebangsaan.

Yves Jean-Bart, 73, bagaimanapun menyangkal tuduhan memperkosa beberapa pemain remaja itu di pusat latihan yang terletak di luar Port-au-Prince sejak lima tahun lalu.

“Mengikut artikel 84 dan 85 Kod Etika FIFA, Jawatankuasa Etika bebas melarang sementara Jean-Bart, menyertai semua kegiatan yang berkaitan dengan bola sepak di kedua-dua peringkat, kebangsaan dan antarabangsa, untuk jangka masa 90 hari,” kata FIFA dalam satu kenyataan semalam.

Polis Haiti melancarkan siasatan terhadap tuduhan itu, yang pertama kali didedahkan akhir bulan lalu, dan hakim juga mengarahkan beberapa pegawai persekutuan untuk membantu siasatan.

Berdasarkan artikel The Guardian hujung April lalu, seorang perempuan muda mendedahkan Jean-Bart memperkosa ramai pemain bawah umur sejak beberapa tahun lalu.

Yves Jean-Bart memakai penutup mulut dan hidung ketika tiba di mahkamah bagi pendengaran kes pada 21 Mei lalu. FIFA telah menggantung Presiden Bola sepak Haiti selama 90 hari sementara menunggu siasatan ke atas tuduhannya. – AFP

Mangsa juga diancam supaya menutup mulut dan sekurang-kurangnya dua pemain bawah umur terpaksa melakukan pengguguran selepas Jean-Bart memperkosa mereka.

“Kami berpendapat ini keputusan tepat FIFA kerana kami menyedari Yves Jean-Bart dan pengikutnya dapat mempengaruhi setiap siasatan kehakiman,” kata Marie-Rosy Auguste Ducena dari Jaringan Nasional Pembela Hak Asasi Manusia (RNDDH).

Ducena menyatakan khabar angin mengenai tawar-menawar seksual untuk faedah bola sepak sudah lama berlaku di negara berkenaan.

Jean-Bart sudah memimpin badan induk bola sepak negara itu selama dua dekad.

Dia yang dihubungi bagaimanapun enggan memberi komen mengenai tuduhan dan penggantungan FIFA itu. – AFP