Presiden Brazil dikejarkan ke hospital

RIO DE JANEIRO, 3 JAN – Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dikejarkan ke hospital hari ini untuk rawatan kemungkinan penyumbatan usus, lapor media tempatan.

Bolsonaro, 66, yang telah memegang jawatan sejak 2019, dibawa ke hospital Vila Nova Star di Sao Paulo.

TV Globo menunjukkan gambar beliau turun dari pesawat presiden dengan berjalan kaki bersama rombongannya.

Doktor Antonio Luiz Macedo, yang pernah membedah Bolsonaro pada waktu lain, memberitahu laman berita UOL bahawa presiden akan menjalani beberapa ujian untuk memeriksa bahagian perutnya.

Perkhidmatan akhbar presiden mahupun hospital masih belum menjawab permintaan untuk mendapatkan maklumat oleh AFP.

Pada bulan Julai, Bolsonaro menghabiskan empat hari menerima rawatan kerana masalah usus tersumbat.

Beliau telah menjalani pembedahan perut sekurang-kurangnya empat kali semenjak beliau diserang semasa kempen pilihan raya 2018, yang mana beliau telah ditikam di bahagian perut menggunakan pisau. – AFP

Jair Bolsonaro dikejarkan ke hospital hari ini untuk rawatan kemungkinan usus tersumbat. – AFP