Presiden Burundi meninggal dunia

BUJUMBURA, 10 JUN – Presiden Burundi Pierre Nkurunziza telah meninggal dunia kerana kegagalan jantung, kata kerajaannya semalam, beberapa bulan sebelum beliau dijangka meletak jawatan selepas menerajui tampuk pemerintahan negara selama 15 tahun.

Nkurunziza, 55, pertama rasa tidak sihat selepas menghadiri perlawanan bola tampar pada Sabtu, dan keadaannya nampak bertambah pulih sehingga kesihatannya merosot pada Isnin dan jantungnya terhenti, kata pejabat presiden dalam satu kenyataan.

“Meskipun usaha sedaya upaya, kumpulan perubatan gagal menyelamat pesakit,” kata kenyataan, menambah doktor telah menghabiskan beberapa jam cuba menyelamatnya.

Satu pos di akaun Twitter kerajaan awal petang semalam mengumumkan kematian Nkurunziza ‘dengan penuh duka cita’, dan satu kenyataan dari pejabat presiden berkata beliau meninggal dunia di sebuah hospital di bandar timur Karuzi.

Ramai warga Burundi mendengar berita tersebut menerusi kenyataan yang dibaca di televisyen dan radio, yang membatalkan rancangannya untuk menyiarkan lagu keagamaan dalam Kirundi, bahasa kebangsaan.

Isteri Nkurunziza, wanita pertama Denise Bucumi, sedang berpulih daripada koronavirus di hospital Nairobi selepas dipindah pada akhir bulan lalu.

Kematian Nkurunziza berlaku ketika beliau sedang bersedia untuk meletak jawatan berikutan pemilihan pengganti beliau Evariste Ndayishimiye pada bulan lalu.

Dalam pos di Twitter malam semalam, Ndayishimiye memuji ‘warisan’ Nkurunziza dan berjanji akan ‘meneruskan kerja yang telah dilakukan oleh beliau untuk negara kami, Burundi.’ – AFP