Presiden era aparteid meninggal dunia

JOHANNESBURG, 12 NOV – Presiden terakhir era aparteid di Afrika Selatan Frederik Willem de Klerk meninggal dunia awal Khamis di kediamannya di Fresnaye, Cape Town pada usia 85 akibat kanser mesotelioma, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan daripada yayasannya.

De Klerk yang berkhidmat sebagai presiden dari September 1989 hingga Mei 1994, dikenali kerana peranan pentingnya dalam menghapuskan penindasan oleh pemerintah kulit putih melalui sistem aparteid.

Pada 1990, De Klerk mengumumkan pembebasan aktivis Nelson Mandela yang dipenjarakan selama 27 tahun kerana menentang aparteid.

Pembebasan Mandela membawa kepada pilihan raya pelbagai parti pada 1994 yang menyaksikan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinannya menang dan beliau menjadi presiden kulit hitam pertama di negara itu.

De Klerk turut berkongsi Hadiah Keamanan Nobel 1993 bersama Mandela.

Beliau juga menjadi Timbalan Presiden di bawah kerajaan demokrasi baharu Mandela pada 1994.

Presiden Cyril Ramaphosa mengucapkan takziah kepada keluarga De Klerk dan mengiktiraf sumbangannya terhadap demokrasi Afrika Selatan.

Ramaphosa berkata De Klerk memainkan peranan penting dalam peralihan negara kepada demokrasi pada 1990-an selepas pertemuan pertamanya dengan Mandela pada 1994, yang ketika itu merupakan tahanan politik. – Bernama