Presiden Filipina jatuh motosikal

MANILA, 17 OKT – Presiden Filipina Rodrigo Duterte (gambar bawah) mengalami kecederaan di pinggul dan kesan calar apabila jatuh dari motosikal, pembantu kanan bagi presiden berusia 74 tahun itu mengatakan hari ini.

Duterte yang tahap kesihatannya menjadi bualan spekulasi awam, mengalami kemalangan itu di perkarangan istana presiden Malacanang lewat semalam, menurut jurucakap, Salvador Panelo.

Kemalangan berlaku 10 hari selepas Duterte—orang paling tua pernah dipilih sebagai presiden Filipina—mendedahkan bahawa dia menghidap myasthenia gravis, satu penyakit autoimun yang boleh membawa komplikasi serius.

“Presiden sedang menggapai kasutnya apabila dia jatuh dari motosikal yang mengakibatkan kecederaan ringan, sedikit lebam dan kesan calar di siku dan lutut,” kata Panelo dalam satu kenyataan.

Senator Chritopher ‘Bong’ Go, bekas pembantunya dan rakan rapat, awal hari ini memberitahu Duterte mengalami ‘kemalangan’ dan mengadu sakit pinggul selepas kemalangan, namun tidak dimasukkan ke hospital.

Panelo, memetik teman wanita Duterte, Cielito ‘Honeylet’ Avancena mengatakan kecederaan presiden tidak memerlukan pembedahan besar dan ‘sesuatu yang tidak perlu dirisaukan.’ – AFP