Presiden Honduras, isteri diuji positif dijangkiti COVID-19

TEGUCIGALPA, 17 JUN – Presiden Honduras berkata beliau dan isterinya telah diuji positif dijangkiti koronavirus.

Negara Amerika Latin itu telah mencatat kurang 10,000 jangkitan COVID-19, menurut kementerian kesihatan, dan 330 kematian.

“Pada hujung minggu, saya mula rasa tidak selesa dan hari ini saya telah didiagnosis dijangkiti COVID-19,” kata Juan Orlando Hernandez semasa sidang media semalam. Pemimpin berusia 51 tahun itu berkata beliau akan bekerja dari rumah sementara beliau menerima rawatan, dan gejalanya adalah ringan.

Beliau berkata isterinya Ana Garcia, merupakan kes asimptomatik.

Sejak bermulanya pandemik pada pertengahan Mac, Hernandez telah menjadi pelopor strategi untuk memerangi dan mengekang koronavirus.

Dalam sidang media, beliau telah mempromosi pengasingan sosial, penggunaan penutup mulut dan hidung dan mencuci tangan.

Meskipun perintah berkurung pada Mac, jumlah jangkitan telah meningkat, dengan tentera dan polis dihantar untuk memastikan penduduk tinggal dalam rumah. – AFP

Gambar pada 15 Jun 2020 menunjukkan Presiden Juan Orlando Hernandez memakai penutup mulut dan hidung di Tegucigalpa. Presiden berkata kelmarin beliau diuji positif dijangkiti COVID-19. – AFP