Presiden Iceland menang pilihan raya

REYKJAVIK, 28 JUN – Presiden Iceland, Gudni Johannesson meraih kemenangan besar pilihan raya hari ini, menurut keputusan awal, selepas negara Eropah itu menjadi negara kedua yang mengadakan pilihan raya sejak lockdown koronavirus dibatalkan.

Sejak mengalami kegagalan bank pada 2018, pulau Atlantik Utara dengan 365,000 penduduk itu berjaya memulihkan kestabilan politik dan ekonomi, yang memihak kepada dasar presiden berusia 52 tahun itu.

Keputusan awal lewat semalam mencadangkan Johan-nessson telah memperoleh mandat empat tahun kedua dengan 90 peratus undi, menangkis cabaran daripada Gudmundur Franklin Jonsson.

“Saya berasa bangga,” beritahu presiden kepada AFP dari ibu pejabat pilihan raya di Hotel Grand Reykjavik. “Keputusan pilihan raya ini, bagi saya, membuktikan bahawa penduduk Iceland telah menyokong pendekatan saya.”

Tinjauan pendapat meramalkan Jonsson mempunyai peluang tipis untuk mendapatkan sokongan negara, yang mempunyai 252,217 pengundi yang layak.

“Saya menyampaikan ucapan tahniah kepada Gudni dan keluarganya,” beritahu Jonsson, bekas broker Wall Street yang rapat dengan penyokong nasionalis Iceland, kepada penyiar RUV.

Dalam parlimen republik ini, presiden sebahagian besar bersifat simbolik, namun beliau mempunyai kuasa untuk memveto perundangan atau menghantarnya kepada referendum.

Beberapa pengundi memberitahu AFP bahawa ‘keperibadian’ adalah kriteria utama dalam memilih seorang calon.

“Saya cuba membaca keperibadian seseorang,” kata Sigurbjorg Hansen, 57. “Jika orang itu jujur, ia adalah faktor nombor satu bagi saya.” – AFP

Presiden Iceland Gudni Th Johannesson (kiri) dan Eliza Reid ketika mereka tiba untuk meraikan pemilihan semulanya sebagai pemimpin negara di sebuah hotel di Reykjavik kelmarin. – AFP