Presiden Indonesia angkat sumpah

Gambar oleh Infofoto

JAKARTA, 20 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menghadiri Upacara Pelantikan Rasmi Presiden Indonesia ke-8, Tuan Yang Terutama Joko Widodo dan dalam masa yang sama mengadakan majlis kunjungan hormat kepada presiden Indonesia serta perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, TYT Scott Morisson.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis-majlis tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Mula-mula Baginda Sultan berkenan menghadiri Upacara Pelantikan Rasmi Presiden Republik Indonesia di Bangunan Majelis Permusyawaratan Rakyat / Dewan Perwakilan Rakyat dan dijunjung oleh Ketua Majelis Permesyuaratan Rakyat, Bambang Soesatyo.

Setelah itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama ketua-ketua negara dan kerajaan serta jemputan khas berjalan beriringan menuju ke Sidang Paripurna bagi upacara Pelantikan Rasmi Presiden Republik Indonesia ke-8.

Seterusnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyaksikan Majlis Mengang-kat Sumpah TYT Joko Widodo sebagai presiden Republik Indonesia ke-8, diikuti dengan Majlis Mengangkat Sumpah TYT Ma’ruf Amin sebagai naib presiden Republik Indonesia yang baharu.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengadakan kunjungan muhibah kepada TYT Joko Widodo dan isteri, Ibu Hajah Iriana Widodo pada keberangkatan sempena majlis angkat sumpah presiden Indonesia ke-8. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat ke upacara pelantikan presiden di Plenary Hall, Bangunan Majelis Permusyarawatan Rakyat/Dewan Perwakilan Rakyat, Jakarta, Republik Indonesia bersama ketua-ketua negara dan kerajaan lain, kelmarin. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dua hala bersama perdana menteri Australia.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat ke majlis kunjungan muhibah bersama TYT Joko Widodo. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan ketika berkenan berangkat mengadakan perjumpaan dua hala bersama Perdana Menteri Australia. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Baginda Sultan dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan mengucapkan tahniah kepada TYT Joko Widodo dan timbalannya serta isteri masing-masing pada upacara pelantikan rasmi presiden Indonesia itu.
TYT Joko Widodo semasa mengangkat sumpah sebagai presiden Indonesia ke-8.
TYT Ma’ruf Amin ketika mengangkat sumpah sebagai naib presiden Republik Indonesia yang baharu.

Ini diikuti dengan penandatangan surat-surat pelantikan presiden dan naib presiden Republik Indonesia, dan seterusnya ucapan rasmi daripada presiden Indonesia.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan ketua-ketua negara dan kerajaan serta para jemputan kemudian naik ke pentas khas bagi bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada TYT Joko Widodo dan isteri, TYT Ma’ruf Amin dan isteri serta mantan naib presiden Republik Indonesia, Jusuf Kalla dan isteri.

Bersempena upacara pelantikan rasmi ini, Baginda Sultan berkenan menyampaikan perutusan tahniah kepada TYT Joko Widodo, yang mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan TYT Joko Widodo sebagai presiden Republik Indonesia yang ke-8 pada 20 Oktober.

Baginda juga berasa gembira kerana berpeluang sekali lagi berangkat meraikan dan menyaksikan acara yang penuh bermakna dan bersejarah tersebut. Baginda percaya dengan pengalaman dan kebijaksanaan Tuan Yang Terutama, Republik Indonesia dan seluruh rakyatnya akan terus mencapai kemajuan dan sentiasa menikmati kemakmuran dan kestabilan.

Baginda juga yakin bahawa dibawah kepimpinan Tuan Yang Terutama, jalinan persahabatan dan kerjasama rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia akan terus terpelihara dan diperkukuhkan lagi demi kepentingan dan kemanfaatan rakyat kedua buah negara.

MAJLIS KUNJUNGAN MUHIBAH KEPADA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA

Baginda Sultan pada sebelah pagi turut berkenan berangkat menghadiri majlis kunjungan muhibah kepada TYT Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta.

Mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Keba-wah Duli Yang Maha Mulia di Istana Merdeka, Jakarta dialu-alukan oleh TYT Joko Widodo dan isteri, Hajah Iriana Widodo.

Selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan bergambar kenangan bersama TYT Joko Widodo dan isteri, sebelum dijunjung menandatangani buku pelawat Istana Merdeka. Seterusnya, Baginda berkenan berangkat bersama Tuan Yang Terutama ke bilik perjumpaan bagi majlis kunjungan muhibah.

Semasa majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama berbincang mengenai isu-isu dan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

PERJUMPAAN DUA HALA DENGAN PERDANA MENTERI AUSTRALIA

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut berkenan mengadakan majlis perjumpaan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, TYT Scott Morrison di Hotel Grand Hyatt, Jakarta.

Mengiringi Baginda Sultan ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Semasa majlis perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan perdana menteri Australia berbincang mengenai isu-isu dan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Australia serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal ASEAN, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

TYT Scott Morrison merupakan perdana menteri Australia yang ke-30 dan telah dilantik sebagai perdana menteri Australia pada 24 Ogos
2018.