Presiden Israel tolak permohonan lanjutkan mandat Gantz

BATULMAQDIS, 12 APRIL – Presiden Israel hari ini menolak permohonan speaker parlimen Benny Gantz untuk diberikan masa lebih untuk menubuhkan kerajaan, tatkala rundingan diteruskan mengenai kemungkinan menubuhkan gabungan sementara dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Bekas ketua tentera Gantz diberikan mandat untuk menubuhkan kerajaan empat minggu lalu oleh Presiden Reuven Rivlin selepas pilihan raya Israel pada 2 Mac, pengundian ketiga negara dalam satu tahun.

Dalam satu tindakan mengejutkan pada bulan lalu, Gantz dipilih speaker parlimen Israel, atau Knesset, dan berjanji akan menubuhkan gabungan perpaduan dengan Netanyahu bertujuan menyelesai kebuntuan politik dan membantu negara mengatasi pandemik koronavirus. Sementara mandatnya untuk menubuhkan kerajaan berkuat kuasa sehingga Isnin, Gantz tidak lagi terlibat secara aktif dalam rundingan untuk menubuhkan gabungan yang dipimpinnya sebagai perdana menteri. – AFP

Kelihatan papan tanda kempen pilihan raya yang menunjukkan Benjamin Netanyahu (kanan) dan Benny Gantz di Bnei Brak. – AP