Presiden Korea Selatan hadiri Perhimpunan Agung PBB di NY

SEOUL, 13 SEPT – Presiden Korea Selatan Moon Jae In akan ke New York minggu depan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, lapor agensi berita Yonhap hari ini.

Moon dijadual berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pada Ahad dan akan menyampaikan ucap tama pada sesi ke-76 UNGA serta ucapan perasmian pada majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menurut jurucakap pejabat Presiden, Park Kyung Mee.

Ini kali kelima Moon menyertai mesyuarat agung PBB. Moon turut merancang mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawatnya di luar perhimpunan agung PBB, tambah Park tanpa mengulas lanjut. – Bernama