Presiden Korea Selatan kerah siasatan ‘pelan’ tentera

SEOUL, Korea Selatan, 10 Julai – Presiden Korea Selatan telah mengarahkan satu siasatan dilancarkan terhadap pendedahan yang tentera merangsang satu pelan untuk mengerah tentera sekiranya bantahan bertambah teruk berhubung nasib pemimpin sebelumnya pada tahun lalu, kata pegawai hari ini.

Campur tangan tentera dalam hal ehwal awam merupakan satu isu amat sensitif di Korea Selatan, yang diperintah oleh pemimpin diktator selama beberapa dekad sebelum mencapai demokrasi pada akhir tahun 1980.

Ketika pemerintahan keras, pihak berkuasa sekali-sekala mengisytiharkan pemerintahan tentera dan perintah lain yang membenarkan mereka menempatkan tentera, kereta kebal dan kenderaan perisai di jalan raya atau di tempat awam seperti sekolah untuk menghalang sebarang tunjuk perasaan anti-kerajaan.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ketika memeriksa barisan kawalan penghormatan semasa upacara resepsi di istana presiden di New Delhi, kelmarin. – AFP

Kontroversi terbaharu berhubung campur tangan tentera meletus pada minggu lalu apabila seorang penggubal undang-undang parti pemerintah mendedahkan satu dokumen yang menunjukkan tentera merancang menggunakan tentera untuk mengekal ketenteraman sekiranya rapat sama ada menentang atau menyokong Presiden Park Geun-hye berubah menjadi ganas selepas Mahkamah Perlembagaan mengeluarkan keputusan mengenai pendakwaannya berhubung skandal rasuah. Kementerian Pertahanan mengesahkan dokumen berkenaan wujud, yang ditulis ketika Park menjadi presiden oleh cabang risikannya yang digelar Pusat Keselamatan Pertahanan.

Presiden sekarang Moon Jae-in, ketika satu lawatan ke India pada malam semalam, mengarahkan menteri pertahanannya supaya menubuhkan satu kumpulan khas untuk menyiasat dokumen tersebut, beritahu jurucakap Moon Kim Eui-kyum kepada wartawan di Seoul hari ini. – AP