Presiden madagascar lancar ‘penawar’ koronavirus

ANTANANARIVO, 21 APRIL – Presiden Madagascar Andry Rajoelina telah melancarkan penawar herba tempatan yang didakwa dapat mencegah dan menyembuh koronavirus.

“Ujian telah dijalankan, dua orang telah sembuh oleh rawatan ini,” beritahu Rajoelina kepada menteri-menteri, diplomat dan wartawan di Institut Penyelidikan Malagasy (IMRA), yang menghasilkan minuman tersebut.

“Teh herba ini memberikan hasil keputusan dalam tujuh hari,” kata beliau.

Sambil meneguk minuman tersebut, beliau berkata: “Saya akan menjadi orang pertama yang meminumnya hari ini, di depan kamu, untuk menunjukkan kepada kamu bahawa produk ini menyembuh dan tidak membunuh.”

Minuman itu, yang digelar Covid-Organics, diperoleh daripada artemisia, sejenis tumbuhan yang terbukti mujarab dalam rawatan malaria, dan tumbuhan herba asli lain, menurut IMRA.

Namun keselamatan dan keberkesanannya masih belum dinilai di dunia, begitu juga data daripada percubaan belum disiarkan dalam mana-mana kajian. Ahli sains telah mengingatkan mengenai risiko berpotensi yang timbul daripada minuman herba yang belum diuji.

Rajoelina mengetepi sebarang keraguan sedemikian dan berkata campuran herba itu akan diberikan kepada kanak-kanak sekolah, kerana ia merupakan tugasnya untuk ‘melindungi rakyat Madagascar”.

“Covid-Organics akan digunakan sebagai profilaksis, iaitu untuk pencegahan, namun pemerhatian klinikal telah menunjukkan trend ke arah keberkesanan dalam rawatan,” kata Dr Charles Andrianjara, ketua pengarah IMRA. – AFP

Andry Rajoelina meminum sampel ‘Covid-Organics’ atau penawar CVO pada majlis pelancaran di Antananarivo pada 20 April. – AFP