Saturday, April 20, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Presiden Mesir rombak kabinet

    KAHERAH, 14 OGOS – Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi, mengumumkan rombakan kabinet bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan di bawah pentadbirannya ketika negara itu berhadapan dengan cabaran ekonomi berpunca daripada peperangan Rusia-Ukraine.

    Rombakan kabinet tersebut menyaksikan perubahan 13 portfolio termasuk kementerian-kementerian kesihatan, pendidikan, kebudayaan, pembangunan tempatan dan pengairan serta mendapat kelulusan daripada ahli-ahli parlimen dalam satu persidangan khas.

    Selain itu, portfolio pelancongan turut menyaksikan pertukaran ketika Mesir bergelut untuk menghidupkan semula sektor yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara berikutan tercetusnya pandemik COVID dan peperangan yang berlaku di Eropah ketika ini.

    Al-Sisi berkata rombakan tersebut dibuat setelah perbincangan dibuat bersama Perdana Menteri, Mustafa Madbouly. Rombakan menteri kabinet tersebut merupakan kali ketiga yang dibuat selepas Madbouly dilantik menjadi perdana menteri pada Jun 2018.

    Dalam satu kenyataan, presiden itu menjelaskan perubahan kabinet dibuat adalah bertujuan meningkatkan prestasi kerajaan dalam beberapa portfolio yang menyumbang kepada kepentingan dan kemampuan negara.

    Presiden Mesir Abdel Fattah Al-Sisi semasa sidang media di Bucharest, Romania pada 19 Jun 2019. – AP

    Pakar kewangan, Ahmed Issa, dilantik menjadi Menteri Pelancongan dan Barang Antik bagi menggantikan Khaled al-Anani yang mengetuai usaha Mesir untuk menghidupkan semula sektor pelancongan. Antara usaha yang dibuat adalah dengan memaparkan barang temuan kuno dan membuka beberapa musium untuk menarik pelancong antarabangsa.

    Sementara itu, seorang profesor dari Universiti RWTH Aachen dalam bidang pengurusan sumber-sumber air dilantik menjadi Menteri Pengairan bagi menggantikan Mohammed Abdel-Aty yang terlibat dalam kontroversi empangan di Sungai Nile.

    Menteri-menteri baharu dilantik akan mengangkat sumpah di hadapan Al-Sisi, menurut agensi berita tempatan Al-Ahram. Perubahan kabinet menteri tersebut bagaimana pun tidak menyaksikan pertukaran kementerian-kementerian utama termasuk hal-ehwal luar negeri, kewangan, pertahanan dan dan dalam negeri yang bertanggungjawab ke atas pasukan polis.

    Pembangkang daripada Parti Keadilan, Abdel-Monem mengkritik rombakan menteri tersebut dan menyifatkannya sebagai satu keputusan yang mengecewakan. Ahli parlimen tersebut berharap berlaku perubahan dalam sektor ekonomi kerajaan.

    Ekonomi Mesir terjejas teruk akibat tercetusnya pandemik COVID dan peperangan yang berlarutan di Ukraine, sekaligus menyebabkan pasaran dunia terus menjunam dan peningkatan harga minyak serta makanan di seluruh dunia. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...