SEOUL, 14 Ogos – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dijadual bertemu Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat (JCS) bagi berbincang mengenai hubungan dua hala dalam aspek pertahanan serta isu ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
Jeneral Joseph Dunford tiba di Seoul hari ini, di tengah ketegangan antara Pyongyang dan Washington, menurut kenyataan Pejabat Presiden lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap. Lawatan itu, sebahagian daripada jadual lawatan beliau ke Asia termasuk China dan Jepun.
Pertemuan dengan Presiden Moon turut dihadiri penasihat keselamatan Moon Chung Eui-yong dan pengerusi JCS Korea Selatan, Lee Sun-jin. Dunford juga dijadual bertemu Menteri Pertahanan Song Young-moo sebelum berlepas ke China. – Bernama