Presiden Pakistan arah tetapkan tarikh pilihan raya

ISLAMABAD, 6 APRIL – Presiden Pakistan, Arif Alvi, hari ini memberitahu suruhanjaya pilihan raya supaya menetapkan tarikh pilihan raya yang baharu, ketika mahkamah agung bersidang untuk memutuskan kesahihan gerakan politik yang menyebabkan parlimen dibubarkan.

Mahkamah – yang akan bersidang pada hari keempat esok – perlu memutuskan jika timbalan speaker dewan perhimpunan kebangsaan melanggar perlembagaan, dengan enggan membenarkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Imran Khan pada hujung minggu.

Jika undian berlaku, Imran pasti sudah dipecat daripada jawatannya, namun tindakan itu membolehkannya meminta presiden membubarkan parlimen dan mengarahkan pilihan raya.

Pembangkang membantah dan enggan untuk bekerjasama dengan membentuk kerajaan sementara bagi memantau mana-mana undi, namun hari ini, Arif membuat keputusannya. – AFP