Presiden Perancis berangkat ke Lubnan

PARIS, 6 OGOS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron meninggalkan Paris hari ini menuju ke Lubnan, lawatan pertama pemimpin dunia ke Beirut selepas letupan dahsyat di pelabuhan Beirut, kata Istana Elysee.

Pesawat Macron berlepas sebelum pukul 0600 GMT dan dijadualkan mendarat di bandar Beirut sekitar jam 0900 GMT di mana presiden Perancis itu bertemu Presiden Michel Aoun dan Perdana Menteri Hassan Diab.

Presiden Macron tiba di Lubnan untuk lawatan sebagai sokongan berikutan letupan di pelabuhan Beirut yang mengorbankan lebih dari 130 orang dan menyebabkan kemusnahan besar.

Dia ditemui di luar kapal terbang oleh rakan sejawatnya dari Lubnan, Michel Aoun, dua hari selepas letupan yang menggegarkan negara yang telah mengalami inflasi, pengangguran besar dan kemiskinan yang meningkat.

Macron akan berusaha mengumpulkan bantuan segera ke Lubnan tetapi juga diharapkan akan mendesak reformasi yang tertunda kepada bekas jajahan Perancis itu, hanya dua hari selepas letupan yang disalahkan atas simpanan amonium nitrat di pelabuhan Beirut yang membunuh 137 orang, mencederakan lebih 5,000 orang dan memusnahkan seluruh kawasan kejiranan.

Presiden Perancis Emmmanuel Macron ketika memeriksa kerosakan di pelabuhan Beirut di ibu negara Lubnan, hari ini, di mana letupan besar mengorbankan lebih dari 100 orang dan menghancurkan bandar itu. – AFP

“Bagi presiden, ini menunjukkan bahawa Perancis bersama mereka itulah peranannya dan bahawa dia percaya kepada Lubnan,” kata istana presiden.

“Kunjungan ini juga merupakan kesempatan untuk meletakkan dasar-dasar perjanjian untuk pembinaan semula Lubnan, mengikat semua pihak, yang akan membatasi konflik, menawarkan bantuan segera dan membuka perspektif jangka panjang,” kata Istana Elysee.

Semalam, Perancis telah menghantar tiga pesawat ke Beirut yang penuh dengan anggota penyelamat, peralatan perubatan dan klinik bergerak.

Dua pesawat tentera meninggalkan lapangan terbang Charles de Gaulle di luar Paris dengan 55 anggota mencari dan menyelamat dan 25 tan bekalan perubatan.

Pesawat ketiga, yang disediakan oleh ketua eksekutif gergasi perkapalan CMA-CGM Rodolphe Saade yang berasal dari Lubnan, berlepas dari Marseille dengan peralatan perubatan dan pasukan perubatan seramai sembilan orang. – AFP