PARIS, 10 JUN – Presiden Perancis Emmanuel Macron telah memutuskan untuk membubarkan Parlimen selepas partinya tewas dalam pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) pada kelmarin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau turut mengumumkan pengundian akan diadakan dalam dua pusingan pada 30 Jun dan 7 Julai.
Menurut beliau, cabaran yang dihadapi oleh Perancis memerlukan kejelasan dan rakyat patut dihormati.
“Oleh itu pada penghujung hari ini, saya tidak boleh berpura-pura bahawa tiada apa yang berlaku.
“Keputusan ini adalah serius dan sukar, tetapi ia di atas segala-galanya adalah tindakan kepercayaan, kepercayaan kepada anda, rakyat Perancis yang saya kasihi,” kata presiden.
Parti National Rally berhaluan kanan di Perancis dijangka mengalahkan parti Renaissance pimpinan Macron dengan margin yang besar dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah negara itu, menurut unjuran penyiar France 2 dan TF1 selepas pengundian berakhir pada kelmarin. – Bernama