Presiden Republik Korea lawat tapak jambatan, muzium

Oleh Pg Fairol RMF, Sim Y. H. & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Sebagai sebahagian daripada lawatan ke Negara Brunei Darussalam, Presiden Republik Korea, Tuan Yang Terutama Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook telah melawat ke beberapa tempat termasuk Tapak Projek Jambatan Temburong Brunei di Kota Batu.

Lawatan Tuan Yang Terutama dan isteri ke tapak projek diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Menteri Pengiring, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan menteri-menteri Republik Korea.

Hadir menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi dalam ucapannya menerangkan bahawa pembinaan jambatan bermula pada 2015 itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

TYT Moon Jae-in dan isteri; Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan isteri serta Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan Jabatan Muzium-muzium semasa lawatan tersebut.
TYT Moon Jae-in dan isteri; Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan isteri serta Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bergambar ramai dengan pegawai-pegawai kanan Jabatan Muzium-muzium semasa lawatan tersebut.
Kim Jung-sook diiringi oleh pemangku menteri pendidikan dan naib canselor UBD ketika mengadakan lawatan ke Universiti Brunei Darussalam.
Isteri Presiden Republik Korea berinteraksi bersama mahasiswa dan mahasiswi UBD yang telah mengikuti modul Bahasa Korea tahap lanjutan di Perpustakaan Perniagaan, UBD.
TYT Moon Jae-in semasa menandatangani lembaran kenangan sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi.
TYT Moon Jae-in dan isteri, Kim Jung-sook mendengarkan penerangan ringkas mengenai Projek Jambatan Temburong Brunei semasa mengadakan lawatan. Turut hadir ialah Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi.
TYT Moon Jae-in menyaksikan miniatur Jambatan Temburong semasa lawatan tersebut.

Ketibaan Kim Jung-sook ke UBD dialu-alukan dengan persembahan silat dan gulintangan.

“Projek ini sedang dilaksanakan di bawah empat pakej pembinaan dan saya gembira untuk memberitahu bahawa daripada empat pakej, dua pakej pembinaan utama sedang dilaksanakan atas usaha sama antara salah satu kontraktor tempatan kami dan salah satu kontraktor terbesar dari Republik Korea Selatan iaitu syarikat usaha sama Daelim Industrial Limited dan Swee Private Limited,” jelasnya.

Jelas beliau, pakej pembinaan di bawah usaha sama Daelim dan Swee adalah jambatan sepanjang 14.5km yang merangkumi Teluk Brunei, jambatan marin dan dua kabel besar jambatan tersebut.

“Kemajuan pembinaan berjalan dengan baik dan projek ini telah mendapat manfaat daripada pengalaman pembinaan jambatan besar yang dibawa Daelim ke projek itu.

“Satu contoh yang baik ialah Kaedah Pelancaran Span Penuh, merupakan yang pertama di dunia digunakan untuk pembinaan jambatan yang membolehkan pembinaan berjalan baik. Saya berharap keseluruhan jambatan itu akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” tambahnya.

Ini diikuti dengan penerangan ringkas mengenai Projek Jambatan Temburong Brunei oleh Haji Amer Hishamuddin.

TYT Moon Jae-in juga turut mendengarkan penerangan daripada pengurus projek Syarikat Daelim bagi Projek Jambatan Temburong Brunei dan penerangan bagi strategi projek di luar negara. Tuan Yang Terutama kemudiannya dijemput bagi menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum dijemput melihat model Projek Jambatan Temburong Brunei secara lebih dekat.

Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama antara lain menyatakan bahawa jambatan berkenaan juga ‘menghubungkan’ Brunei dan Korea dengan sama-sama mengejar teknologi terkini tanpa henti dan berkongsi minat yang mana syarikat Korea mempunyai hubungan berpanjangan dan kepercayaan mendalam dengan Brunei.

Menurut beliau, pada tahun-tahun akan datang, kerjasama bilateral akan diperluaskan daripada ICT, Bandar Pintar dan tenaga mesra alam hingga harta intelek, pertahanan dan industri pertahanan.

“Saya berharap persahabatan kedua-dua buah negara akan lebih kukuh berikutan dengan pembinaan jambatan ini,” tambah beliau.

Mengakhiri lawatan tersebut, Tuan Yang Terutama dijemput untuk menandatangani lembaran kenangan, menyaksikan miniatur Jambatan Temburong dan seterusnya bergambar ramai bersama yang hadir dan pihak kontraktor.

Terdahulu sebelum lawatan ke tapak projek berkenaan Tuan Yang Terutama dan isteri juga telah mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja di mana ketibaan beliau dan isteri dialu-alukan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan isteri, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim.

Turut mengalu-alukan kehadiran ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil serta pegawai-pegawai kanan dari KKBS dan Jabatan Muzium-muzium.

Turut mengiringi Tuan Yang Terutama dan isteri dalam lawatan berkenaan ialah Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar dan isteri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong.

Semasa lawatan itu, Tuan Yang Terutama serta isteri dibawa melawat ke ruang pa-meran Istiadat Perpuspaan 1968 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Galeri Pameran Diraja.

Antara yang menjadi perhatian Tuan Yang Terutama dan isteri ialah Usongan Diraja yang telah digunakan setelah Istiadat Perpuspaan pada 5 Oktober 1968 dan mengelilingi Bandar Brunei, diiringi oleh alat-alat kebesaran diraja antaranya Tarian Kerajaan, Lembing dan Taming, Tombak Benderangan dan Payung Warna.

Seterusnya Tuan Yang Terutama dan isteri melawat Galeri Pameran Diraja yang mempamerkan kehidupan Baginda Sultan sebelum dimasyhurkan sebagai Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Mahkota dan setelah ditabalkan menjadi Sultan Brunei Ke-29.

Lawatan berakhir dengan menandatangani lembaran kenangan di Muzium Alat Kebesaran Diraja dan seterusnya penyampaian cenderamata oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan sesi bergambar ramai.

Sementara itu, Kim Jung-sook secara berasingan juga telah mengadakan lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) di mana beliau memerhati kelas Bahasa Korea lanjutan.

Ketibaan beliau telah disambut oleh Pemangku Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz.

Semasa lawatan, Kim Jung-sook turut menyaksikan salah satu sesi kelas Bahasa Korea yang dijalankan di UBD di mana Pusat Bahasa menawarkan modul Bahasa Korea dari Tahap 1 hingga 6 yang diajar oleh dua orang guru.

Setakat ini, seramai 122 orang mahasiswa mengambil modul Bahasa Korea di Pusat Bahasa UBD. Kebanyakannya mempelajari Bahasa Korea bagi membolehkan mereka meneruskan Tahun Penemuan di beberapa universiti terkemuka di Republik Korea yang merupakan universiti rakan kongsi UBD.

Lawatan Kim Jung-sook berakhir dengan sesi interaksi bersama 20 orang mahasiswa dan mahasiswi yang telah menamatkan modul Bahasa Korea pada tahap lanjutan yang berlangsung di Perpustakaan Perniagaan, UBD.