Presiden sebuah NGO dituduh pecah amanah

KOTA KINABALU, 10 SEPT – Presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan seorang lagi individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan harta secara tidak jujur berjumlah RM34,000.

Tertuduh, Jismit Japong, 54, iaitu presiden Pertubuhan Gagasan Ekonomi Bumiputera Sabah (PGEBS) dan Mohd Hafiz Anuar, 36, yang hanya bekerja sendiri membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta secara tidak jujur iaitu wang tunai berjumlah RM34,0000 dari akaun RHB Bank milik Mohd Hafiz.

Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di RHB Bank, Blok B Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Jalan Karamunsing, Kota Kinabalu pada Mei 2012 hingga Julai 2012.

Bagi pertuduhan itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Faliq Basiruddin yang mengendalikan pendakwaan itu menawarkan jaminan RM15,000 dan dikenakan syarat-syarat tambahan terhadap tertuduh.

Tertuduh, Jismit yang diwakili peguam PJ Perira dan tertuduh Mohd Hafiz yang tidak diwakili peguam dalam rayuannnya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan kedua-duanya mempunyai tanggungan anak. – Bernama

Presiden Pertubuhan Gagasan Ekonomi Bumiputera Sabah (PGEBS) Jismit Japong, 54, ketika keluar dari Mahkamah Sesyen kelmarin selepas prosiding pendakwaan terhadapnya atas pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan harta secara tidak jujur berjumlah RM34,000. – Bernama