Presiden Senegal jalani kuarantin

DAKAR, 25 JUN – Presiden Senegal Macky Sall memulakan kuarantin dua minggu selepas mempunyai kontak dengan satu kes koronavirus, walaupun pemimpin itu diuji negatif dijangkiti penyakit itu, kata pejabatnya.

Negara Afrika Barat itu telah melaporkan lebih 6,100 jangkitan COVID-19 dan 93 kematian, dan perintah darurat yang dikuatkuasakan sejak Mac sedang dibatalkan secara berperingkat.

“Sejajar dengan nasihat kesihatan mengenai isu tersebut, Presiden Sall menjalani kuarantin selama dua minggu mulai semalam,” kata jurucakap Seydou Gueye dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen. – AFP