SINGAPURA, 17 FEB – Pausi Jefridin, rakyat Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung, kelmarin, kerana kesalahan dadah telah diberi penangguhan pelaksanaan hukuman oleh presiden republik itu, Halimah Yacob.
Peguamnya Charles Yeo mengesahkan perkara itu kepada Bernama.
Terdahulu, peguam Singapura M Ravi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata presiden mengeluarkan perintah penangguhan pelaksanaan hukuman mati Pausi.
Dalam hantaran berasingan, Ravi turut menyiarkan salinan perintah penangguhan hukuman gantung terhadap warga Singapura, Roslan Bakar.
Ketika ditanya mengenai tempoh penangguhan itu, Yeo berkata: “Sekurang-kurangnya hingga 28 Februari. Ia adalah penangguhan yang tiada had tempohnya.”
Mahkamah Rayuan Singapura kelmarin menolak cubaan berasingan oleh Pausi dan Roslan menghindari pelaksanaan hukuman mati. Kedua-duanya dijatuhi hukuman mati pada 2010.
Kedua-duanya didakwa mengedar heroin seberat 96.07gram pada 14 Jun 2008. – Bernama