Presiden Sri Lanka diberi kuasa tambahan

COLOMBO, 23 OKT – Parlimen Sri Lanka semalam mengundi untuk memberi kuasa lebih luas kepada Presiden, Gotabaya Rajapaksa, untuk secara peribadi melantik pegawai tertinggi dan membubarkan badan perundangan itu.

Kelulusan itu dicapai selepas perdebatan hangat selama dua hari, dengan parti pembangkang menyifatkannya sebagai usaha untuk mewujudkan ‘diktator berperlembagaan’.

Seorang anggota parti pemerintah, SLPP, menentang usul itu, sekali gus menggugat keperluan sokongan majoriti dua pertiga untuk diluluskan, namun sokongan lapan anggota pembangkang mengatasi kemelut itu.

Sebelum ini, pemimpin popular yang dipilih sebagai presiden pada November lalu itu, dengan serta merta melantik abangnya, Mahinda Rajapaksa, yang juga bekas presiden, sebagai perdana menteri Sri Lanka.

Gotabaya adalah pegawai pertahanan utama ketika saudaranya bergelar presiden selama sedekad hingga 2015.

Aktivis persatuan sivil dan kesatuan perniagaan Sri Lanka memegang sepanduk di luar parlimen untuk membantah pindaan perlembagaan yang akan memberikan kuasa meluas kepada presiden di Colombo, Sri Lanka. – AP

Kerajaan Sri Lanka, yang mendapat sokongan politik dan diplomatik dari China, menegaskan usul itu bertujuan memperkuatkan ‘kuasa’ Rajapaksa untuk melaksanakan manifesto menjanjikan ‘kepemimpinan yang kuat’.

Bagaimanapun, Menteri Keadilan, Ali Sabry, memaklumkan Parlimen bahawa beberapa peruntukan yang memberikan kekebalan mutlak kepada Rajapaksa dan penghapusan pengawasan kewangan terhadap institusi negara terpaksa digugurkan selepas mendapat bantahan rakyat.

“Presiden sekarang boleh memecat mana-mana menteri, termasuk perdana menteri dan membubarkan Parlimen selepas memenuhi separuh daripada penggal lima tahun.

“Usaha kami sekarang ini adalah untuk membolehkan presiden meng-gunakan kuasa rakyat sekali lagi,” kata Sabry.

Rajapaksa kini boleh melantik hakim mahkamah dan jawatan penting lain dalam kerajaan iaitu fungsi yang sebelum ini menjadi tanggungjawab panel pengawasan Parlimen termasuk pesuruhjaya bebas. – AFP