MOSCOW, 21 JAN – Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan mengesahkan wabak Marburg di negara itu dengan satu kes jangkitan disahkan setakat ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Minggu lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata lapan individu didakwa meninggal dunia akibat demam Marburg di Tanzania.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Tanzania menafikan laporan mengenai wabak itu.
Ujian makmal yang dijalankan di wilayah Kagera mengesahkan satu kes jangkitan virus Marburg, manakala ujian terhadap pesakit lain menunjukkan keputusan negatif, kata Presiden Hassan kelmarin.
Kes yang disahkan itu menandakan wabak kedua virus Marburg di Tanzania, menurut Hassan dalam satu sidang media bersama Dr Ghebreyesus.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Tanzania mengambil langkah tindak balas kecemasan susulan laporan mengenai beberapa orang yang dipercayai meninggal dunia akibat virus itu.
Virus Marburg merupakan antara penyakit paling membawa maut yang diketahui manusia dan ia menyebabkan demam berdarah dengan nisbah kematian setinggi 88 peratus berbanding wabak Ebola, menurut WHO. – Bernama
