Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Timor Leste amat menghargai sokongan negara-negara anggota ASEAN dalam usahanya untuk menjadi ahli ASEAN dan akan berusaha sedaya-upaya bagi memenuhi segala syarat yang diperuntukkan serta menyatakan harapan untuk menjadi ahli penuh ASEAN menjelang 2025.
Harapan itu disuarakan oleh Presiden Republik Demokratik Timor Leste, Tuan Yang Terutama Dr Jose Ramos-Horta dalam ucapan khas semasa lawatan ke Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang berlangsung di Dewan Persembahan, Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, hari ini.
Turut hadir semasa lawatan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Duta Republik Demokratik Timor Leste ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abel Guterres; Duta Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Timor Leste, Tuan Yang Terutama Wan Hadfi Lutfan bin Haji Abdul Latif; menteri-menteri dari Republik Demokratik Timor Leste, para pegawai kanan dari Brunei serta pengurusan kanan UBD dan pelajar-pelajar UBD.
Dalam ucapannya lagi, TYT Dr Jose Ramos-Horta turut menyatakan harapan untuk menghantar doktor-doktor perubatan dari Timor Leste ke Negara Brunei Darussalam bagi menjalani latihan dalam bidang-bidang kepakaran perubatan yang amat diperlukan seperti doktor pergigian dan pakar oftalmologi.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengongsikan mengenai dengan perjalanan menuju kemerdekaan Timor Leste serta usaha-usaha dan pembangunan yang dilalui sejak kemerdekaannya pada 2002.
Sementara itu, dalam kata alu-aluannya, Dr Hazri mengalu-alukan belia dan pelajar-pelajar dari Timor Leste untuk menyertai UBD bagi pengajian sepenuh masa atau program latihan jangka pendek.
Beliau mengetengahkan nilai-nilai pembelajaran sepanjang hayat dan pembelajaran berterusan UBD serta menyatakan bahawa UBD mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk biodiversiti dan bio-inspirasi, pemangkinan dan sains tenaga, teknologi digital termasuk kesihatan awam digital serta pembangunan mampan, di mana semua itu boleh diterokai bagi pelajar-pelajar yang berminat.
Beliau menambah dengan bidang kepakaran yang pelbagai itu, UBD menawarkan pengalaman penyelidikan dan pendidikan luar biasa kepada pelajar-pelajarnya.
Selepas ucapan khas berkenaan, Tuan Yang Terutama meneruskan lawatannya dengan berkunjung ke Pusat Penyelidikan Botani (BRC) UBD di mana beliau menyempurnakan penanaman pokok jenis Kapur Peringgi atau nama saintifiknya, Dryobalanosps aromatica sebagai memperingati lawatannya ke UBD.
Lawatan TYT Dr Jose Ramos-Horta berakhir dengan jamuan ringan yang diadakan di Simpur Herbal Cafe, UBD. Lawatan TYT Dr Jose Ramos-Horta ke UBD adalah sebahagian daripada lawatan negara ke Negara Brunei Darussalam bermula 5 hingga 8 November.