Presiden Toshiba letak jawatan

TOKYO, 14 APRIL – Presiden Toshiba Corp meletak jawatan hari ini, seminggu selepas syarikat gergasi teknologi dan pengeluaran Jepun itu berkata ia sedang mengkaji cadangan pemerolehan dari sebuah dana global di mana beliau bekerja sebelum ini.

Nobuaki Kurumatani menghantar surat peletakan jawatan pada mesyuarat lembaga, dan lembaga menerimanya, berkuat kuasa hari ini, menurut Toshiba dalam satu kenyataan.

Kurumatani mengetuai operasi CVC Capital Partners di Jepun, yang mencadangkan pemerolehan pada minggu lalu, sebelum menyandang jawatan ketua eksekutif Toshiba pada 2018.

Beberapa persoalan telah dikemukakan, di dalam dan luar Toshiba, mengenai Kurumatani memimpin perbincangan lembaga tentang isu pemerolehan. Kurumatani tidak menghadiri sidang media dalam talian, di mana dua ahli lembaga menjelaskan peletakan jawatan beliau.

Seorang pegawai syarikat membaca kenyataannya yang berkata peletakan jawatan adalah atas sebab-sebab peribadi.

Perjanjian CVC dianggarkan bernilai 2 trilion yen dan akan menjadikan Toshiba sebuah syarikat swasta. Toshiba berkata ia ‘akan memberikan pertimbangan teliti. Osamu Nagayama, seorang ahli lembaga, memberitahu wartawan cadangan tidak mempunyai butir lengkap dan tidak dapat dinilai sekarang.

Perniagaan dalam saham syarikat digantung apabila berita timbul minggu lalu. Saham Toshiba, dengan perniagaan termasuk pembuatan lif dan landasan kereta api, meningkat dan diniagakan pada 5,000 yen.

CVC ialah sebuah firma ekuiti swasta berpangkalan di Luxembourg, yang telah memperuntukkan dana berjumlah AS$162 bilion dan mengendali lebih daripada 300 pelabur. Ia enggan memberi komen mengenai cadangan pemerolehan atau peletakan jawatan presiden.

Kurumatani akan diganti sebagai ketua eksekutif dan presiden oleh pemimpin sebelumnya, Satoshi Tsunakawa. – AP

Gambar fail menunjukkan Nobuaki Kurumatani semasa menghadiri sidang media di Tokyo. Kurumatani akan meletak jawatan pada 14 April, menurut laporan syarikat. – AFP