Presiden Turki dikritik enggan laksanakan perintah berkurung

ISTANBUL, 8 APRIL – Presiden Recep Tayyip Erdogan meningkatkan tindakan mengekang penularan pantas COVID-19 di Turki, namun dikritik susulan keengganan beliau melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya atas faktor ekonomi.

Erdogan telah melaksanakan siri langkah ketat, termasuk melarang perhimpunan, sekatan ke atas perjalanan antara bandar serta pemakaian topeng muka di hampir semua tempat.

Bagaimanapun, beliau menolak permintaan untuk melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya, setakat ini.

Persidangan Parlimen yang bermula semalam, membahaskan rang undang-undang disokong kerajaan berhubung pembebasan tahanan di dalam penjara yang sesak sebagai antara langkah membendung penyebaran virus berkenaan.

Turki mencatatkan 34,109 kes dan 725 kematian, setakat semalam, sekali gus merupakan negara kesembilan paling terjejas di dunia akibat pandemik itu.

Lebih membimbangkan ialah penyakit itu menular dengan pantas di Turki yang melaporkan kes pertama pada 11 Mac lalu.

Kerajaan telah mengambil langkah segera untuk mengekang penularan virus itu di seluruh Turki, termasuk menutup sekolah dan kawasan kebudayaan serta menggantung penerbangan membabitkan negara terjejas dengan COVID-19.

Selain itu, penduduk berusia melebihi 65 tahun dan bawah 20 tahun diarahkan berkurung, manakala puluhan bandar serta kampung dikuarantin.

Setakat ini, Erdogan menggesa rakyat Turki supaya menjalani ‘kuarantin secara sukarela’ berbanding mengisytiharkan arahan mewajibkan mereka berkurung di rumah, dalam usaha untuk tidak menghentikan pemulihan ekonomi selepas mengalami krisis bertahun-tahun. – AFP