DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 7 DIS – Pemimpin China, Xi Jinping akan tiba di Arab Saudi hari ini untuk menghadiri mesyuarat dengan negara Teluk Arab mengenai bekalan tenaga negara tatkala Beijing berusaha memulihkan ekonomi yang terjejas oleh langkah koronavirus.
Bendera Saudi dan China berkibar hari ini di Riyadh, ibu negara Saudi, sebelum lawatan beliau. Negara Teluk Arab berusaha menetapkan semula dasar luar mereka ketika Amerika Syarikat beralih tumpuannya ke negara lain di dunia. Perang Rusia di Ukraine dan dasar Barat yang ketat ke atas Moscow juga mendorong negara Arab menjalin hubungan lebih kukuh dengan China.
Semasa lawatan, Xi dijangka menghadiri Sidang Kemuncak China-Arab dan mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk, yang juga termasuk negara-negara dari Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
Walaupun butir-butir lawatan tidak didedahkan, pihak berkuasa China berkata ia adalah ‘acara diplomatik peringkat tertinggi dan terbesar di antara China dan dunia Arab sejak penubuhan Republik China dan akan menjadi peristiwa bersejarah dalam hubungan China-Arab’, menurut jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, ketika menyampaikan taklimat kepada wartawan hari ini.
Selain itu, Xi juga merancang bertemu dengan Raja Saudi Salman, 86, serta Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 37, semasa lawatan. – AP